Bahasa Melayu Perjuangan Bermusim

117
0

Oleh: S.M. Zakir

Isu Lim Guang Eng mengeluarkan kenyataan rasmi dalam bahasa Mandarin menjadi isu hangat untuk beberapa ketika, sebelum ia nantinya padam dan dilupakan sepertimana isu-isu penidakan bahasa Melayu yang lepas-lepas. Tidak dinafikan suara dan bantahan, malah kemarahan yang dihamburkan di media sosial serta protes terbuka terhadap penidakan bahasa Melayu dapat menghalang tindakan yang lebih buruk terhadap bahasa Melayu untuk jangka masa pendek ini. Malah menyedarkan mereka tentang kemarahan sebahagian rakyat terhadap perlekehan bahasa Melayu. Tetapi dapatkah dijamin pencabulan, perlekehan dan penidakan terhadap bahasa Melayu ini tidak akan berlaku lagi?

Tidak ada jaminan sebenarnya, malah adalah pasti perlekehan dan penidakan terhadap bahasa Melayu akan berlaku lagi, dengan lebih leluasa pada masa akan datang. Penidakan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi dalam urusan kerajaan, akan berlaku lebih ketara memandangkan suasana hari ini. Kerajaan Pakatan Harapan yang keputusannya lebih condong kepada kaum kosmopolitan, akan mengekor kemahuan masyarakat Malaysia baharu yang liberal dan terbuka. Tentunya menuntut keterbukaan untuk bahasa pertuturan lain di Malaysia juga diiktiraf secara rasmi. Apatah lagi pemimpinnya Tun Dr Mahathir yang memang mempunyai sejarah pahit PPSMI dengan pejuang bahasa Melayu.

Malaysia Baharu sedang melahirkan rupa bentuk masyarakat baharu yang berdiri di atas kepelbagaian. Dasar kepelbagaian ini akan turut memasuki daerah bahasa, dan menjadikan bahasa Melayu harus berkompromi dengan bahasa vernakular yang lain. Bahasa Inggeris sudah tentu akan segera mengatasi kepentingan bahasa Melayu dalam memenuhi keperluan hari ini. Perubahan orde ekonomi dunia yang menyaksikan penguasaan China dalam mengimbangi kuasa ekonomi Amerika Syarikat, juga akan menyaksikan peningkatan keperluan kepada bahasa Mandarin. Malah masyarakat perniagaan di Malaysia hari ini sedia maklum tentang penggunaan bahasa Melayu yang sangat minimum dalam urusan harian mereka. Begitu juga dalam urusan teknologi dan saintifik.

Isu bahasa Melayu sepatutnya telah lama selesai setelah lebih enam dekad kemerdekaan. Tetapi tiadanya kesungguhan dan kemahuan politik kerajaan baik dahulu mahupun sekarang untuk menegaskan kepatuhan masyarakat terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan membuatkan isu bahasa ini bukan sahaja tidak pernah selesai malah semakin memburuk dari hari ke hari. Isu Kementerian Kewangan menggunakan bahasa Mandarin seperti kata Tun Dr Mahathir adalah isu kecil, berbanding dengan pelaksanaan dasar baharu Pendidikan dan Kemasyarakatan akan datang yang akan menyaksikan peminggiran dan penidakan bahasa Melayu yang lebih tersusun. Ini tentunya spekulasi, tetapi spekulasi seringkalinya juga benar-benar akan terjadi.

Malangnya dalam menghadapi penidakan bahasa Melayu yang lebih tersusun dan semakin kemas, para pejuang dan institusi baik pertubuhan yang mempertahankan bahasa Melayu semakin tidak tersusun dan rapuh. Dari dahulu perjuangan bahasa Melayu menjadi perjuangan bermusim. Protes, laungan dan tindakan hanya muncul apabila timbul sesuatu isu. Ia kemudian hilang, diam dan padam. Sepertimana hari ini suara dan protes muncul dengan gencar terhadap isu Lim Guang Eng, tetapi seperti dahulunya ia tidak lama lagi akan diam dan padam. Tentunya akan ada protes dan memo bantahan dalam seminggu dua ini. Tetapi protes dan memo bantahan itu sepertimana dahulu tidak akan pergi ke mana-mana.

Ini berlaku kerana tiadanya satu gerakan yang tersusun dan konsisten untuk sentiasa bergerak pada setiap masa memperkukuhkan bahasa Melayu. Institusi dan pertubuhan yang ada dalam konteks menjadi tembok bahasa Melayu hari ini lebih bersifat perjuangan ad hoc, iaitu bergantung atau menunggu timbulnya isu untuk bertindak. Ia tidak bergerak secara konsisten dan sentiasa reaktif dan progresif untuk mendesak kepatuhan masyarakat malah ahli politik dan kerajaan sendiri kepada dasar bahasa kebangsaan. Mungkin penyebabnya adalah apa yang selalu disuarakan iaitu masalah dana untuk pertubuhan ini bergerak secara konsisten. Tetapi masalah dana atau logistik ini sebenarnya terletak kepada masalah pengurusan juga.

Masalah pengurusan instusi dan pertubuhan ini pula tidak dapat tidak amat dipengaruhi oleh iltizam dan kebersatuan kelompok masyarakat itu sendiri. Dalam kelompok kecil pejuang bahasa Melayu sendiri, pengorbanan ahli-ahli yang berwibawa dan berkemampuan besar dari segi kewangan hampir tidak ada. Sepatutnya telah wujud satu kumpulan pendana yang mendokong perjuangan bahasa Melayu tanpa bergantung kepada bantuan kerajaan. Ini berlaku dalam perjuangan bahasa dan pendidikan selain bahasa Melayu di negara ini. Tetapi dalam kelompok pejuang bahasa Melayu tidak ada langsung kumpulan pendana sedangkan daripada kelompok ini terdapat begitu ramai para jutawan dan hartawan. Ini adalah kelemahan yang menjadi titik kepada barah dalam perjuangan bahasa Melayu.

Perkara kedua yang menjadi masalah dalam perjuangan bahasa Melayu, ialah menjadikan isu mempertahankan bahasa Melayu tersudut dalam dunia yang terasing dan memusuhi. Pejuang dan pertubuhan bahasa Melayu seringkali melihat skema dan manual perjuangan bahasa Melayu sepertimana 50 tahun yang lepas. Akhirnya perjuangan bahasa Melayu menjadi perjuangan yang terasing daripada masyarakat. Ini kerana masyarakat tidak dapat melihat kepentingan bahasa Melayu dalam konteks dunia hari ini, dan hanya melihat sentimen, emosi serta hujah-hujah lapuk teori pascakolonial tentang penjajahan baharu yang tidak berpijak dalam dunia nyata hari ini.

Perubahan besar lanskap ekonomi dan pendidikan bermula pada awal abad ke-21 seharusnya disedari terlebih dahulu dalam melihat cabaran bahasa Melayu abad baharu ini. Kemunculan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) bermula pada tahun 1985 dan pada tahun 1996 terdapat 354 buah IPTS dengan 35 % pelajar memasuki IPTS dan 51.5% memasuki IPTA. Pada tahun 2007 IPTS meningkat kepada 525 buah dengan jumlah pelajar seramai 391,553 sementara jumlah pelajar di IPTA ialah seramai 382,997. Jumlah pelajar memasuki IPTS semakin meningkat dan melebih pelajar di IPTA, dengan 95% daripada pelajar ini ialah bukan Melayu.

Apa yang hendak dinyatakan di sini bahawa bahasa Melayu hampir tidak digunakan sebagai bahasa pengantar di IPTS. Ini menjelaskan bahawa keperluan bahasa Melayu pada tahap institusi pengajian tinggi semakin mengecil dan digunakan hanya di IPTA. Malah penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di IPTA juga telah jatuh hampir ke tahap 60 % sahaja penggunaannya, dan peratusan ini semakin jatuh dari tahun ke tahun. Pada tahun 2000 sahaja terdapat 112,000 bukan bumiputera belajar di luar negara berbanding hanya 5,800 bumiputera. Nisbah ini terus berjurang dengan bilangan pelajar bukan bumiputera yang semakin besar.

Bayangkan ratusan ribu pelajar yang pulang ke Malaysia saban tahun akan memenuhi pasaran kerja yang rata-ratanya tidak menggunakan bahasa Melayu dalam urusan harian mereka. Ia ditambah dengan pertambahan IPTS yang menjadikan Hub Pendidikan Tinggi di Malaysia tidak lagi memerlukan penggunaan bahasa Melayu. Malah Malaysia menjadi tumpuan pelajar dari Asia Tengah dan seluruh dunia untuk mengikuti kursus tinggi bahasa
Inggeris sepertimana yang ditawarkan ELEIS dan sebagainya. Gambaran ini menjelaskan tentang keperluan bahasa Melayu untuk peringkat pengajian bagi bidang-bidang strategik dan keperluan masa kini sudah hampir tidak ada.

Gambaran ini harus disedari oleh pejuang dan pertubuhan bahasa Melayu untuk mengetahui realiti yang membuatkan perjuangan bahasa Melayu menjadi perjuangan yang terpisah daripada keperluan masyarakat. Hal ini diburukkan lagi oleh sikap segelintir pejuang bahasa Melayu yang mengambil sikap memusuhi kaum lain dan bahasa lain dalam memperjuangkan bahasa Melayu. Sikap memusuhi ini langsung tidak memberi faedah, sebaliknya apa yang perlu dililhat ialah bagaimana bahasa Melayu itu dapat diangkat untuk menjadi keperluan dalam realiti mencari kehidupan masyarakat hari ini. Ini tentunya memerlukan sikap harmoni dan bijak, serta suatu bentuk perjuangan berkelompok yang sangat konsisten.

Perjuangan bahasa Melayu bukan lagi harus ditangani dengan cara lama dan lapuk; mesyuarat, protes, menghantar memo, khayalan tentang teori penjajahan dan rapat umum yang semakin kecil. Sebaliknya ia memerlukan perjuangan yang bersifat profesional dengan kumpulan pendana yang bebas dari kerajaan, pengurusan bergaji, kerja secara harian serta logistik yang canggih. Tanpa perubahan ke arah ini, cara lama perjuangan bahasa Melayu hanya akan menyaksikan bilangan mereka yang semakin mengecil dan tenaga yang semakin tua, sebelum semuanya dimamah dunia baharu yang perkasa, keras dan pantas.