Badrul Amin Pertahan Doa Laknat, Rafizi Yang Minta Maaf

734
0
KONGSI

Oleh: Shaiful Nizam

KUALA LUMPUR: Demonstari Mansuh GST dan Undur Najib yang menyaksikan kemunculan pertama kali mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di atas pentas ceramah jalanan anjuran pembangkang berakhir dengan kontroversi doa laknat pemimpin kanan PKR, Dr Badrulamin Bahron.

Badrulamin yang membacakan doa penutup pada jam 5.30 petang mengulangi insiden doa laknat oleh Dr Azhar Yaakob ketika Muktamar PAS Ke-60 di Batu Pahat dua tahun lalu.

Dalam doanya selepas ucapan Mahathir, Badrulamin bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) selama dua tahun semasa zaman Mahathir mengambil kesempatan memperli bekas perdana menteri selama 22 tahun itu.

“Semoga Tuhan memberikan balasan kepada mereka yang zalim ketika mereka masih hidup… Kamu ingat kamu ‘Mahafiraun’, tapi ‘Mahafiraun’ pun tenggelam dalam lautan. Kamu ingat kamu ‘Mahazalim’, tetapi Tuhan akan hancurkan orang yang zalim,” katanya sebelum memulakan doa.

Badrulamin membacakan doa dengan suara yang nyaring, “Hukumlah mereka yang mula-mula memenjarakan Anwar, dan yang terus memenjarakan Anwar.”

‘Mahazalim’ dan ‘Mahafiraun’ adalah nama yang digunakan pembangkang untuk merujuk kepada Mahathir, terutama ketika era Reformasi selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada parti dan kerajaan pada 1998.

Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli yang berada di atas pentas sementara tersebut turut menunjukkan aksi isyarat untuk menyenyapkan para demontran yang menganggu ucapan Mahathir dan melaungkan slogan ‘reformasi’ ketika Mahathir berlalu pulang.

Sejurus kemudian, Rafizi dalam respon segeranya kepada media melahirkan rasa terkilan dan memohon maaf kepada Mahathir atas doa laknat tersebut dan akan menyampaikan sendiri permohonan maaf tersebut kepada Mahathir.

“Islam tidak mengajar kita mengaibkan orang. Bagi saya dosa-dosanya dan kesilapannya biarlah dia di antara dia dan Allah,” kata Rafizi ringkas.

Badrulamin dalam reaksi balasnya di laman Facebook mempertahankan doanya yang dikatakan telah diamalkan sejak zaman awal Reformasi dan menganggap doa sebagai senjatanya untuk menentang kezaliman.

“Saya tertanya-tanya, kenapa setelah 18 tahun, baru kini doa saya dikritik dan dipertikai oleh teman ‘seperjuangan’? Adakah kerana hari ini kita teruja bila dapat bersama sepentas dan berkongsi mikrofon dengan Mahathir? Apakah itu memadam segala kezaliman yang dia lakukan satu masa dahulu?” Soalnya yang selama ini terkenal dengan himpunan zikir munajat.

Demi Allah, saya tidak dendam dengan Mahadir. Saya hanya ingat pesan Nabi agar tidak redho dgn apa jua kezaliman. Nabi juga pesan agar lawan kezaliman setakat yang termampu. Dan itulah kemampuan saya.

Badrulamin sempat bersumpah dengan nama Allah yang dia tiada dendam dengan Mahathir, sebaliknya berpesan kepada rakan-rakan yang mengkritiknya, “Kepada yang menegur saya kerana berdoa, anda orang hebat dan berani. Saya kagum. Saya pohon, tegurlah orang yang zalim itu secara berdepan mana tahu teguran anda membuatnya sadar dan segera bertaubat.

“Dalam konteks Mahathir, tegurlah dia mana tahu terbuka hatinya untuk minta maaf pada Anwar, keluarga dan rakyat. Ingat, GST hanyalah satu dari sekian banyak kezaliman yang bermula dari zaman Mahathir.”