Azmin Yakin Isu Kerusi Selesai Cara Baik

20
0

SHAH ALAM: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Selangor yakin isu membabitkan pembahagian kerusi kawasan pilihan raya di Selangor akan dapat diselesaikan dengan baik.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata beliau tidak melihat isu yang ditimbulkan rakan komponen PH itu ketika ini sebagai satu perkara yang besar.

Katanya, beliau sendiri mengadakan pertemuan dengan Pengarah Strategik Parti Amanah Negara (PAN), Dr Dzulkefly Ahmad, hari ini untuk membincangkan penyelesaian kepada isu yang ditimbulkan.

“Tadi, saya bersama Dr Dzul selama dua setengah jam untuk melihat apa penyelesaian yang baik.

“Saya tidak melihat ia satu perkara yang besar. Mereka sangat menyokong PH untuk menyelesaikan isu ini dengan baik kerana hasrat semua adalah untuk mempertahankan kemenangan Selangor.

“Bukan saja mendapat kemenangan biasa, tetapi dengan sokongan yang meyakinkan,” katanya kepada pemberita, hari ini.

Pada masa sama, Mohamed Azmin berkata, masih ada masa lagi untuk membincangkan mengenai pengagihan kerusi kawasan pilihan raya di negeri itu berikutan tarikh Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) belum diputuskan lagi.