Azmin Tidak Layak Desak Najib Lepas Jawatan – Noh Omar

151
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak layak untuk mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar menegaskan, ini kerana, Azmin sendiri tidak dapat menyelesaikan masalah dalaman yang dihadapi di negeri pimpinannya.

“Kalau Mohamed Azmin mahukan reformasi menyeluruh, beliau perlu lakukan di Selangor kerana banyak isu yang tidak selesai di bawah pentadbiran beliau. Jangan cakap tidak serupa bikin,” katanya yang dipetik dari sebuah laman portal.

Beliau mengulas kenyataan Mohamed Azmin sebelum ini yang menganggap tindakan Tun Dr. Mahathir Mohamad mengetuai Deklarasi Selamatkan Malaysia satu perubahan atau reformasi secara total kepada sistem di negara ini.

Noh seterusnya mengaitkan kelemahan Azmin dengan isu seperti tender balak kepada dua syarikat berstatus ‘enterprise’ tanpa proses tender terbuka, isu Darul Ehsan Investment Group (DEIG) yang masih belum dapat diselesaikan.

Dalam pada itu Noh menyindir ‘kemajuan’ yang dibawakan oleh Azmin hanyalah dengan memasang papan tanda bebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang lebih banyak daripada memasang papan tanda kempen menangani aedes.

Mengulas mengenai perkara lain, sesuatu yang lebih dikesali ialah apabila Kerajaan Negeri sanggup mengabaikan titah DYMM Sultan Selangor agar tidak menjadikan masjid sebagai medan berpolitik dengan menyebarkan akhbar Selangorkini.

“Semasa pentadbiran Abdul Khalid, akhbar ini melaporkan pembangunan dan kemajuan negeri tetapi di bawah mohamed Azmin, Selangorkini telah menjadi lidah politik parti yang terang-terang menuduh dan memfitnah pemimpin BN,” dakwanya.