Azmin Dahului Saingan PKR

59
0

KUALA LUMPUR: Rafizi Ramli, yang mencabar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bagi jawatan timbalan presiden PKR memulakan saingannya di Sabah dengan penuh berliku.

Pengundian di negeri itu akan menentukan keputusan pemilihan PKR.

Menurut keputusan tidak rasmi, Azmin mendahului Rafizi dengan 345 undi hasil pemilihan 11 daripada 12 cabang PKR hari ini.

Keputusan tidak rasmi menunjukkan Azmin mendapat 5,115 undi berbanding Rafizi yang memperolehi 4,770 undi.

Pengundian di Keningau dilanjutkan dan tiada keputusan rasmi setakat ini dari cabang PKR itu.

Terdahulu, berlaku kekecohan di cabang PKR Keningau, yang mana Rafizi mendakwa diserang.

Azmin dijangka menang di cabang Libaran, Sandakan, Kalabakan, Sepanggar, Beaufort dan Tawau.

Sementara itu, Rafizi pula dikatakan akan menang di cabang Kota Kinabalu, Batu Sapi, Tuaran, Sipitang dan Kota Marudu.

Jawatankuasa Pemilihan PKR (JPP) masih belum mengeluarkan makluman keputusan rasmi.

Keputusan awal dijangka akan dimaklumkan JPP lewat malam ini.

Esok 13 lagi cabang PKR Sabah akan mengundi

Sabah amat penting dalam perebutan jawatan timbalan presiden PKR kerana terdapat sebanyak 18 peratus anggota parti tersebut dari negeri itu, keahlian kedua selepas Selangor.

Keputusan tidak rasmi pengundian pusingan pertama di Sabah pad ahari ini menyaksikan Azmin mendapat 54,739 undi berbanding Rafizi yang memperolehi 52,684 undi keseluruhan dalam pemilihan PKR setakat ini.

Esok, 13 lagi cabang PKR di Sabah akan melakukan pengundian.

Setelah pemilihan di Sabah selesai, masih terdapat kira-kira sembilan peratus lagi baki undi pada peringkat nasional.

Sarawak akan mengadakan pemilihan pada minggu hadapan, manakala pengundian semula akan diadakan di Melaka. Pemilihan turut dibuat sekali lagi di cabang PKR Labuan, Kuala Selangor dan Jelebu.