Asyraf Wajdi Bidas Tohmahan Terhadap YaPEIM, Jamil Khir

220
0
KONGSI

KUALA LUMPUR: Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) hanya menggunakan wang hasil penjanaan perniagaan untuk menampung segala kos perbelanjaan melibatkan program di luar negara, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Kenyataan beliau itu sekaligus membidas tohmahan serta fitnah yang dilemparkan sesetengah pihak yang mendakwa kononnya YaPEIM telah menggunakan sejumlah dana yang besar untuk membiayai beberapa program di luar negara melalui dana Yayasan Pembangunan Anak Yatim dan Miskin (PEMANGKIN).

Dr Asyraf juga menjelaskan yayasan tersebut telah menjana pendapatan tahunan sebanyak RM1.034 bilion melalui perniagaan anak syarikatnya.

Antara anak-anak syarikat yayasan tersebut termasuklah operasi Ar-Rahnu di mana sehingga 2015 entiti korporat itu telah menjana pendapatan sebanyak RM83 juta.

“YaPEIM membuat keuntungan sendiri. Kami tidak menggunakan wang yang diperuntukkan untuk anak-anak yatim atau golongan miskin.

“Tuduhan bahawa wang anak-anak yatim telah digunakan adalah fitnah.

“Cop setem ke atas invois itu ialah YaPEIM bukan PEMANGKIN,” kata Asyraf merujuk kepada dua invois yang didedahkan kepada media oleh Pusat Pemantauan dan Pendedahan Maklumat Kebangsaan (NOW) minggu lalu.

Invois tersebut menunjukkan pembayaran yang dibuat bagi perjalanan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan isterinya serta rombongan yang didakwa ke program Education Malaysia (EM) Chicago sempena Mid West Game yang menghimpunkan lebih 1,000 pelajar dari Amerika Syarikat serta Kanada.

“Walaupun anda membuat perbandingan dengan RM1.034 bilion. RM410,000 yang digunakan untuk perjalanan ke AS, (jadi) hanya guna 0.0063%,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2016 di peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, pada Selasa.

Asyraf pada masa sama menegaskan YaPEIM tidak mempunyai sebarang isu penyelewengan sebaliknya agensi itu menjadi perhatian hanya kerana persepsi negatif sesetengah pihak.

Katanya, perkara itu dapat dilihat berdasar laporan audit agensi itu yang tidak menunjukkan sebarang unsur penyelewengan.

Beliau juga menegaskan bahawa menteri tidak mempunyai sebarang kuasa dalam soal operasi YaPEIM kerana semuanya tertakluk kepada pengurusannya dan lembaga pemegang amanah agensi itu.

“Jadi menteri atau timbalan menteri tidak ada kuasa untuk campur tangan kecuali jika kami merasakan ada sebarang bentuk penyelewengan, dan dalam kes ini bukan penyelewengan tapi isu persepsi. Tetapi kita akan melihat jika ada sebarang isu tadbir urus.

“Tetapi sebagai menteri dan timbalan menteri kami hanya lihat laporan auditnya, takkan kami nak campur urusan YaPEIM setiap hari, nak tengok apa ketua pegawai eksekutif, presiden atau lembaga pengarah dia buat, kena faham konsep tadbir urus itu,” katanya.

Dr Asyraf juga membidas anggota Parlimen pembangkang agar tidak terpengaruh dengan pelbagai persepsi negatif yang dilemparkan kepada agensi itu dan menyifatkan mereka sepatutnya menyokong YaPEIM.