Apa Yang Anda Mungkin Tidak Nampak

1679
0

Oleh: AZMAN HUSSIN

KERAJAAN dikatakan menindas rakyat, tetapi mengapakah masih ada orang yang mempertahankan kerajaan?

Adakah yang menyokong kerajaan itu semuanya menerima dedak?

Ya, pasti ada yang memiliki kepentingan-kepentingan peribadi di sebelah kerajaan sedia ada. Tetapi tidak mungkin kesemua mereka begitu.

Adakah semua yang mempertahankan kerajaan tidak dikenakan GST? Mereka membeli barang-barang dengan harga yang murah kerana mereka menyokong kerajaan?

Adakah mereka tidak terbeban dengan kos hidup yang makin meningkat saban hari?

Sudah pasti anda tahu jawapannya. Mereka juga mengalami perkara yang sama.

Tidak ada yang dibezakan.

Adakah yang menyokong kerajaan majoritinya hidup senang dan kaya-raya?

Anda pun tahu jawapannya.

Adakah orang yang menyokong kerajaan majoritinya tidak berpendidikan, daif dan lemah mindanya?

Sudah tentulah tidak.

Jadi, kesimpulannya penyokong kerajaan bukanlah dari satu golongan, mereka merangkumi semua lapisan masyarakat.

Persoalannya, tidakkah anda terfikir mengapa masih ada orang-orang yang menyokong malah mempertahankan kerajaan?

Apa hujah-hujah mereka?

Dalam masa yang sama, tidak perlu dipersoalkan lagi kenapa orang-orang yang anti-kerajaan mahu menumbangkan kerajaan.

Ia adalah kerana kemarahan mereka kepada kerajaan atas pelbagai sebab seperti yang didakwa dan disebarkan oleh pakatan parti pembangkang. Kononnya kerajaan korup, menindas, menjual negara kepada pihak asing, tidak pandai mengurus ekonomi negara dan sebagainya.

Ini antara sebab-sebab mereka menentang kerajaan, walaupun tuduhan itu tidak semestinya benar.

Adakah penyokong kerajaan tidak terkesan dengan dakwaan-dakwaan ini? Sudah tentu sebahagian mereka tidak mempercayai tuduhan-tuduhan ini. mereka anggap itu fitnah atau persepsi yang dicipta pembangkang.

Bagaimana pula dengan sebahagian yang lain? Sebahagian yang lain tentulah tidak dapat menafikan kerajaan langsung tidak melakukan penyelewengan.

Tetapi, mengapa mereka tidak meletakkan ini sebagai perkara utama untuk dijadikan alasan menukar kerajaan?

Cubalah anda berfikir atau melihat daripada kacamata mereka ini.

Mungkin pandangan anda selama ini tertutup kerana kemarahan dan kebencian yang amat sangat kepada kerajaan. Kebencian boleh menutup akal. Apabila kita marah dan membenci seseorang, kita tidak akan nampak lagi perkara yang baik pada seseorang itu atau sudut-sudut yang lain secara menyeluruh.

Mungkinkah selama ini anda didoktrin dengan politik kebencian sehingga tidak dapat berfikir dengan rasional lagi?

Bagaimana masih ada orang-orang yang menyokong dan mempertahan kerajaan tatkala anda mahu menjatuhkannya?

Anda mungkin membalikkan soalan ini dengan bertanya, kenapa ada orang mahu menjatuhkan kerajaan yang sedang dipertahankan oleh sebahagian orang lain.

Tentang perkara ini, semua orang sudah tahu hujah-hujah golongan yang mahu menjatuhkan kerajaan.

Persoalan penting di sini, kenapa masih ada orang yang mahukan kerajaan kekal dan tidak bertukar, walaupun sebahagian daripada mereka tahu kerajaan tidaklah bersih sepenuhnya.

Kenapa ada golongan sebegitu, sedangkan anda tahu tidak mungkin mereka semuanya bodoh, mendapat dedak, keliru dan tertipu?

Apakah yang mungkin anda tidak nampak?

Cubalah keluar daripada kepompong pemikiran anda. Jangan beranggapan bahawa hanya fikiran anda sahaja yang betul. Mungkin ada sisi-sisi lain yang anda tidak nampak.

Ambil contoh, ulama terkenal Syria, Dr Said Ramadan al-Buthi juga dikecam kerana mempertahan kerajaan Bashar al-Assad.

Kerajaan sedia ada hari ini tentulah tidak seburuk kerajaan Bashar al-Assad. Walaupun begitu, beliau mempertahankan kerajaan dan melarang orang awam memberontak.

Hari ini orang ramai baru mengakui bahawa apa yang diseru oleh beliau adalah benar apabila melihatkan kerosakan yang sedang berlaku di Syria akibat pemberontakan ke atas kerajaan.

Keadaan asal di Syria adalah jauh lebih baik daripada apa yang berlaku di Syria hari ini. Demonstrasi dan pemberontakan rakyat tidak ubah seperti mengundang kemudaratan yang lebih besar lagi.

An elderly Syrian man and a child walk amidst debris in a residential block reportedly hit by an explosives-filled barrel dropped by a government forces helicopter on March 18, 2014 in Aleppo. AFP PHOTO/BARAA AL-HALABIBARAA AL-HALABI/AFP/Getty Images

Apabila ada golongan yang tidak ada kepentingan diri, tidak mendapat apa-apa faedah, terus menyokong kerajaan, sedangkan anda menganggap rakyat seluruhnya tertindas, tentu ada sebab-sebab tertentu yang mewajarkan tindakan mereka.

Janganlah hanya mendengar daripada pakatan pembangkang yang sememangnya mempunyai kepentingan-kepentingan peribadi atas penentangan itu.

Anda mungkin tidak menyedarinya kerana minda anda telah didoktrin dengan dakwaan kerajaan zalim.

Bagaimanakah pemikiran golongan ini sebenarnya?

Apa yang anda rasa dan alami, ia juga dialami oleh penyokong kerajaan. tetapi kenapa pilihan anda berbeza?

Berbalik kepada Syria sebagai contoh, apa yang dilihat oleh Said Ramadan al-Buti tidak dapat dilihat oleh rakyat biasa.

Ia seperti kata bijak pandai, “fitnah itu hanya disedari oleh orang alim, dan ketika ia berlaku barulah orang awam baru mengetahuinya.”

Mungkin suasana inilah yang sebenarnya berlaku. Kemarahan anda membuat fikiran anda tidak waras. Sebahagian yang menyokong kerajaan masih rasional dan masih dapat menganggar apa yang bakal terjadi jika kerajaan bertukar sebagaimana yang terjadi Syria atau negara-negara bergolak lain seperti Iraq, Tunisia, Mesir dan Libya.

Anda mungkin berkata keadaan tidak sama, iaitu di negara-negara tersebut pemberontakan secara revolusi dan berdarah, sedangkan di negara ini ia melalui sistem demokrasi.

Jika anda fikir begitu, anda silap. Kerosakan yang dihasilkan melalui pertukaran demokrasi adalah sama sahaja dengan cara demonstrasi.

Secara demokrasi mungkin ia tidak menelan korban pertumpahan darah atau kehancuran fizikal. Tetapi, ia mungkin menyebabkan negara tergadai kepada orang-orang bukan Islam. Lihatlah hari ini bagaimana ahli-ahli politik Melayu Islam menjadi tukang jilat orang-orang bukan Islam kerana mahukan kuasa. Bagaimanakan nanti mereka mahu memerintah dengan bersekutu dan mengharapkan orang-orang bukan Islam?

Lihat kepada empayar Uthmaniah yang dalam sekelip mata bertukar menjadi sebuah negara sekular di bawah Mustapha Kamal altartuk. Bagaimana keadaan agama Islam selepas
itu di bawah pemerintahan beliau, anda sendiri mengetahuinya.

Anda sendiri telah melihat bagaimana agenda dan prinsip pakatan pembangkang yang mahu meraih kuasa. Bala dan musibah yang dibawa oleh mereka lebih besar lagi daripada keluhan sebahagian rakyat hari ini. Perkara ini telah banyak dibicarakan oleh orang-orang yang celik mata.

Cuba fikir, saya tahu anda marah dan mahu menukar kerajaan, tetapi kenapa orang lain yang sepatutnya juga marah, tidak mahu menukar kerajaan?

Anda telah meletakkan perkara menukar kerajaan adalah perkara utama sehingga apa yang mungkin berlaku kemudian anda tidak fikirkan.

Ini adalah tindakan yang berasaskan kepada emosi.

Rasionalnya, sekali pun anda benci dan marah kepada kerajaan, ia tidak harus membutakan mata anda melihat kepada kemudaratan-kemudaratan lain yang timbul daripada tindakan anda menukar kerajaan.