Anwar Sudah Lebih Dari Bersedia Jadi PM – Penganalisis

15
0

Peralihan jawatan perdana menteri kepada Anwar Ibrahim perlu ditunaikan bagi mengelakkan perbalahan tercetus dalam gabungan Pakatan Harapan, kata penganalisis politik.

Meskipun menurut Setiausaha Agung PH Saifuddin Abdullah berkata tiada tempoh waktu akhir rasmi yang pernah dipersetujui, namun umum ketahui bahawa jawatan tersebut akan disandang Anwar dalam tempoh dua tahun selepas Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Prof Dr Jeniri Amir dari Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), sekiranya janji itu tidak ditunaikan ia bukan sahaja akan menimbulkan masalah kepada penyokong presiden PKR itu tetapi juga mereka akan bertindak balas.

“Tempoh (rasmi) memang tidak ada tapi dalam lingkungan yang disebut oleh kedua-dua belah pihak sebelum ini adalah tempoh dua tahun. Seluruh dunia sudah tahu dan memang tidak ada tarikh yang pasti sekarang.

“Tapi Mahathir pun sedar bahawa tempoh usianya dalam dua tahun 95 tahun. Jadi keterbatasan itu beliau juga sedar bahawa orang menunggu itu sentiasa dalam keadaan menanti dan Anwar juga mahu duduk di kerusi itu.

“Selepas sudah kempunan pada tahun 1998, janji mesti ditunaikan. Jadi jangan salahkan Anwar, kita perlu faham kedudukan dan perasaan penyokong beliau,” katanya kepada Malaysiakini.

Pada 1998 Dr Mahathir ketika menjadi perdana menteri keempat pernah memecat Anwar yang merupakan timbalan perdana menteri.

Anwar faham luar, dalam Mahathir

Jeniri menambah, jawatan yang pernah disandang Anwar sebelum ini sebagai TPM dan menteri kewangan membuatkan beliau lebih daripada bersedia untuk memegang jawatan mentadbir negara itu.

“Saya fikir dia (Anwar) sudah faham watak luar dan dalam Mahathir. Beliau telah belajar daripada peristiwa 1998. Jadi yang dituntut sekarang bukan sahaja kesabaran daripada pihak Anwar tetapi juga pada penyokong partinya, iaitu penyokong PKR sendiri.

“Untuk pemimpin Bersatu peringkat akar umbi untuk mendesak Mahathir terus kekal sehingga tamat tempoh menjelang PRU akan datang, saya fikir tidak kena.

“Pendapat saya, penyokong Dr Mahathir harus faham akan situasi itu dan tidak membuat gesaan yang bukan-bukan,” katanya. – MK