Anwar Ketuai Kaukus Reformasi Di Parlimen

50
0

KUALA LUMPUR: Enam lagi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen telah ditubuhkan bagi mengawasi dan memeriksa kerajaan persekutuan.

Setiap jawatankuasa akan memiliki tujuh anggota dan diketuai anggota parlimen Pakatan Harapan.

Enam jawatankuasa berkenaan meliputi perkara berikut:

  •  Bajet
  •  Hubungan antara negeri-negeri dan persekutuan
  •  Menimbang Rang Undang-undang
  •  Pertahanan dan hal ehwal dalam negeri
  •  Melantik Jawatan-jawatan Utama Perkhidmatan Awam
  •  Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender

Difahamkan calon-calon jawatankuasa pilihan khas ini dicadangkan parti-parti yang diwakili mereka dan ia bukan suatu pekerjaan bergaji.

Bagaimanapun, anggota jawatankuasa dipercayai boleh membuat tuntutan elaun kehadiran mesyuarat.

Jawatankuasa pilihan khas berkuasa memanggil saksi dan mengadakan pendengaran untuk meneliti perbelanjaan kerajaan hasil daripada kutipan wang pembayar cukai.

Jawatankuasa ini dijangka akan beroperasi ketika Dewan Rakyat tidak bersidang.

Jawatankuasa ini dibentuk oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang dipengerusikan Yang DiPertua Dewan Rakyat Mohamad Ariff Md Yusof.

Mohamad Ariff berkata jawatankuasa pilihan khas juga menerima syor menubuhkan Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus.

Anggota Parlimen Port Dickson Anwar Ibrahim akan mempengerusikan kaukus parlimen itu dan MP Iskandar Puteri dipilih sebagai timbalan kaukus.

Kaukus itu akan memiliki 12 anggota keseluruhannya, merangkumi empat anggota daripada anggota parlimen pembangkang.