Hampir 60 Peratus Anjing Di Sarawak Pembawa Virus Rabies

10
0
KONGSI

SERIAN: Sebanyak 50 hingga 60 peratus anjing yang berada di kawasan wabak rabies di Sarawak disyaki berpotensi membawa virus tersebut.

Sehubungan itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam menegaskan setiap anjing di negeri ini wajib diberikan vaksin sebagai langkah berjaga-jaga.

Beliau juga menasihati agar masyarakat memberikan sokongan penuh pemvaksinan haiwan peliharaan mereka kerana wabak itu amat berbahaya dan boleh membawa maut.

“Saya berharap masyarakat keseluruhannya memberi sokongan kepada usaha ini memandangkan wabak tersebut sangat berbahaya.

“Risiko bagi seseorang itu dijangkiti virus rabies ini adalah tinggi kerana lebih 50 peratus mereka yang digigit anjing akan mengalaminya.

“Kementerian akan bekerjasama dengan kerajaan negeri bagi menangani wabak itu dari terus merebak di Sarawak,” katanya ketika melawat mangsa keenam kes rabies di Kampung Bayur, Serian hari ini.

Dr. Subramaniam memberitahu, walaupun mangsa kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun itu pulih daripada jangkitan itu tetapi kanak-kanak tersebut mengalami kecacatan otak selain bergantung kepada mesin bantuan alat pernafasan.

Sementara itu, Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Professor Datuk Dr. Sim Kui Hian menegaskan pemilik haiwan wajib membawa haiwan pelihara mereka mendapatkan suntikan vaksin setahun sekali.

“Semua anjing mesti diberikan vaksin rabies setahun sekali. Apabila haiwan ini diberi vaksin pertama contohnya sejak bulan Jun dan Julai tahun lepas, maka anjing berkenaan perlu diberikan semula vaksin rabies tahun ini,” katanya.

Mengikut laporan Jabatan Veterinar Sarawak, setakat ini, enam mangsa maut akibat wabak rabies.

Manakala, sejumlah 50,000 haiwan peliharaan termasuk anjing dan kucing telah diberikan vaksin rabies di negeri ini.