Amazon.com Berhentikan Ratusan Pekerja

7
0
KONGSI

SAN FRANCISCO: Amazon.com Inc mengurangkan ratusan pekerjaan dalam perniagaan penggunanya di Seattle, menurut sumber yang mempunyai maklumat mengenai perkara berkenaan.

Langkah itu diambil berikutan syarikat itu menukar sumbernya kepada cabang perniagaan lain yang lebih maju, seperti bantuan suara Alexa yang dihasilkannya.

Langkah pengurangan pekerjaan itu adalah sesuatu yang agak pelik bagi syarikat peruncit dalam talian terbesar di dunia itu.

Jumlah yang bakal dikurangkan adalah dalam lingkungan beberapa ratus pekerjaan, kata sumber yang enggan dikenali.

Perancangan teliti Amazon bagi tahun ini adalah dengan mengenalpasti beberapa cabang yang sudah matang dalam perniagaannya, yang tidak lagi memerlukan ramai pekerja, kata sumber itu.

Adalah masih tidak jelas bahagian pekerjaan yang akan terbabit. Organisasi pengguna Amazon termasuklah perniagaan runcit dan platform jualan serta program seperti perkhidmatan penghantaran makanan Amazon Restaurants.

Amazon yang berpangkalan di Seattle telah mewujudkan 130,000 pekerjaan di seluruh dunia pada tahun lalu dan mengumumkan rancangan untuk membuka ibu pejabat keduanya di Amerika Utara, dengan jangkaan 50,000 lagi pekerjaan akan dicipta di situ.

Jumlah pekerja sepenuh masa dan separuh masanya melonjak kepada 66 peratus dalam suku keempat kepada 566,000 pekerja berbanding tahun sebelumnya.

Ia termasuklah pekerja di Whole Foods Market, yang diambil alih oleh Amazon dalam satu transaksi bernilai AS$13.7 billion tahun lalu.

Bagaimanapun, kebanyakan pekerjaan korporat mempunyai potensi untuk mencipta lebih keuntungan seperti bahagian perkomputeran awan Amazon Web Services atau cabang yang mana dilihat berpotensi oleh Amazon, seperti perkomputeran kawalan suara.

“Jangkaan kami bagi Alexa pada tahun 2017 adalah sangat optimistik dan kami berjaya mencapainya dengan amat baik,” kata Pengasas yang juga Ketua Eksekutif Amazon, Jeff Bezos dalam satu kenyataan awal bulan ini.

“Kejutan positif seperti ini adalah jarang terjadi, tetapi anda perlu jangka kami untuk menggandakannya,” katanya. – Reuters