Alumni Al-Azhar Disaran Menjadi ‘Third Force’

237
0
KONGSI

Oleh: Mohd Khairi Ahmad

KUALA LUMPUR: Multaqa Serantau Alumni Al-Azhar 2015 yang telah berlangsung selama tiga hari bermula 16 Disember lalu seharusnya menjadi pemangkin ke arah penyatuan umat Islam di Malaysia merentasi pelbagai ideologi termasuk politik. Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WAAG Malaysia) pula perlu diangkat sebagai pemangkin ke arah penyatuan itu.

Gesaan ini diungkapkan oleh Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dato’ Dusuki dalam ucapan perasmian penutupnya tengahari tadi.

“Tidak ada satu perbezaan syarie antara UMNO dan PAS. Kedua-duanya mahukan Islam. Objektifnya sama, cuma mungkin pandangan, pendekatan, manhaj dan orientasi itu berbeza. Yang mana perlu ada garis panduan, yang membolehkan kita berbeza dalam kerangka yang dibolehkan oleh syarak. Inilah yang perlu diambil peranan oleh alumni Al-Azhar,” ujar Dr Asyraf.

“Alumni Al-Azhar mesti terus memainkan peranan sebagai kuasa ketiga untuk menyatukan umat Islam, bukan sahaja UMNO dan PAS tetapi juga pelbagai kelompok, pelbagai fahaman dan ideologi,” tambah beliau lagi.

“Sepatutnya Alumni Al-Azhar dan para ulama yang bermanhajkan wasatiyah inilah yang harus mengambil tanggungjawab untuk memberikan makna dan definisi terhadap apa jua pandangan Islam dalam konteks negara kita sebagaimana yang telahpun terpateri padu dalam perlembagaan.”

Alumni Al-Azhar juga diminta untuk mengembangkan multaqa seperti ini ke serata negara bagi memberikan kefahaman dan kesedaran berkenaan keperluan untuk bersatu dan berpadu merentasi ideologi, juga memahamkan segenap lapisan masyarakat akan perbezaan-perbezaan yang dibenarkan di dalam Islam.

Sementara itu, deklarasi penutup dan resolusi yang mengandungi tujuh perkara telah dibentangkan oleh Presiden Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia, Prof Madya Dato’ Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti.

Multaqa yang disertai kira-kira 900 orang itu telah dirasmikan pembukaannya oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak.