Aliran Trafik Perlahan Di Lebuh Raya

27
0

KUALA LUMPUR: Warga kota mula berpusu-pusu meninggalkan ibu kota hari ini untuk pulang ke kampung mereka sempena Aidilfitri yang dijangka disambut Jumaat ini.

Lebuh raya menghala keluar dari ibu kota mengalami peningkatan jumlah kenderaan sejak jam 4 petang tadi apabila aliran trafik dilaporkan mula perlahan kira-kira jam 6 petang.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) menerusi laman Facebook rasminya memaklumkan satu laluan kontra dibuka di Kilometer 436.4 hingga Kilometer 449.6 arah selatan selepas trafik semakin perlahan ke arah utara dari Rawang ke Sungai Buaya.

“Trafik turut perlahan dari Slim River ke Sungkai, Bidor ke Tapah terus ke Gopeng, Jelapang ke Terowong Menora, Bukit Merah ke Alor Pongsu dan dari Juru ke Permatang Pauh.

“Trafik juga dilaporkan perlahan menuju ke arah timur di Gombak ke Genting Sempah, Bukit Tinggi ke Lentang dan 2.4 kilometer dari Plaza Tol Kuala Terengganu.

“Di arah selatan pula, trafik mula perlahan dari Nilai menuju Bandar Ainsdale dan dari Skudai ke Senai,” katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter di www.twitter.com/plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter di www.twitter.com/llminfotrafik.