25 C
Kuala Lumpur
Saturday, October 20, 2018

Akta Hasutan Masih Relevan – Bekas KPN

31
0

KUALA LUMPUR: Selepas dua tokoh perundangan negara menggesa supaya kerajaan Pakatan Harapan mengekalkan Akta Hasutan 1948, hari ini dua bekas Ketua Polis Negara yang cukup dihormati tampil menyuarakan pandangan sama.

Menurut kedua-duanya, akta yang diperkasakan selepas peristiwa 13 Mei 1969 itu perlu dikekalkan bukan untuk menyekat hak kebebasan bersuara mana-mana pihak, sebaliknya bertujuan mengelak daripada berulang masalah ketegangan kaum dan agama di negara ini.

Tun Hanif Omar berkata, biarpun generasi hari ini memiliki pendedahan dan pemikiran yang agak berbeza berbanding mereka yang lahir ketika pra atau pasca merdeka, namun Akta Hasutan masih relevan untuk dikekalkan kerana demografi kaum negara ini bersifat kompleks.

Jelas beliau yang memegang jawatan sebagai Ketua Polis Negara selama 20 tahun dari 1974 hingga 1994, keadaan itu tidak sama dengan peratusan kaum negara lain yang memiliki jurang agak besar dan mempunyai latar belakang, kepercayaan, budaya dan bahasa hampir sama, berbanding rakyat Malaysia yang ternyata segalanya berbeza.

“Atas sebab itu, Akta Hasutan masih diperlukan kerana secara realitinya perpaduan di negara ini masih rapuh. Buktinya orang kita masih mudah dijolok dan cepat ‘melatah’ atau ‘melenting’.

“Jadi sama ada suka atau tidak, Akta Hasutan ini memang tujuannya untuk menyekat mana-mana pihak daripada bersuara secara melampau sehingga boleh mengakibatkan ketegangan dan rusuhan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

MySuaraFM
MySuaraTV