Akta Antiberita Tidak Benar Digazet Hari Ini – Najib

52
0
Oleh: Fadzly Esa

KUALA LUMPUR: Akta Antiberita Tidak Benar 2018 yang diluluskan Dewan Rakyat dan Dewan Negara pada awal bulan ini sudah digazetkan hari ini, ujar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya, akta itu telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V.

Pada masa sama, beliau menolak kebimbangan sebilangan para wartawan kononnya akta baharu itu akan digunakan untuk menyekat kebebasan mereka dalam melaporkan berita.

“Tetapi saya ingin maklumkan, pandangan ini tidak tepat lagi, tidak benar kerana antaranya, di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, melalui Seksyen 8A telah menjadi kesalahan untuk menyiarkan berita palsu.

“Meskipun terdapat peruntukan undang-undang sedia ada, masalah bagi membendung penyebaran berita tidak benar, tidak dapat dikawal secara efektif dan menyeluruh, berikutan perkembangan semasa teknologi maklumat yang semakin pantas serta kompleks,” katanya¬†berucap pada majlis pelancaran Hari Wartawan Nasional (HAWANA), di sini hari ini.

Ia bertemakan ‘Membela Bangsa, Membina Negara’, penganjuran Hawana bertujuan mendapatkan pengiktirafan negara dan penghargaan atas sumbangan pengamal media dalam membantu¬†membangunkan negara dan mengukuhkan perpaduan masyarakat.

Berucap di hadapan kira-kira 1,000 pengamal media, Najib berkata, akta tersebut adalah berpaksikan kepentingan rakyat bertujuan melindungi orang awam daripada penyebaran berita tidak benar selain ia berunsur pencegahan yang mana setiap individu hendaklah bertanggungjawab terhadap perkongsian maklumat yang benar dan sahih.

Menurutnya, akta itu juga tidak akan berkompromi dengan penyebaran berita yang memudaratkan ketenteraman awam atau keselamatan negara.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib berkata, walaupun kerajaan masa kini memberi ruang kebebasan bersuara dan media, ia haruslah berasaskan tiga perkara utama iaitu disertai dengan sifat tanggungjawab, berasaskan kebenaran dan mengikut tafsiran citra serta budaya tempatan, bukannya mengikut acuan barat.

“Kebebasan bersuara dan media itu mesti ada hadnya serta kebebasan tersebut tidak seharusnya menjurus kepada penyebaran berita-berita tidak benar lagi tidak sahih, sehingga sampai mengorbankan aspek lebih utama iaitu keselamatan dan ketenteraman awam serta kestabilan negara,” katanya.