Akhirnya Jakim Dedah Identiti Sajat

82
0
KONGSI

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akhirnya tampil membuat pendedahan mengenai isu identiti usahawan kosmetik, Nur Sajat Kamaruzzaman.

Penolong Pengarah Kanan, Cawangan Sosial, Bahagian Pembangunan Keluarga Sosial dan Komuniti Jakim, Dr Mohd Izwan Md Yusof berkata, ia dibuat susulan kenyataan Sajat mengenai identiti sebenarnya.

Mohd Izwan yang juga pakar dalam menangani lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) Jakim mengakui dimaklumkan bahawa identiti usahawan itu sebagai khunsa, iaitu seseorang yang mempunyai dua alat kelamin.

“Ye betul, ibu bapa Sajat telah bersumpah bahawa Sajat adalah khunsa,” kata Mohd Izwan.

Bagaimanapun Mohd Izwan berkata, pengakuan atau sumpah tetap memerlukan pengesahan pihak berautoriti dari sudut perubatan.

Sehubungan itu katanya, Jakim telah menawarkan bantuan agar Sajat mengikuti beberapa prosedur pengesahan jantinanya oleh pakar perubatan yang bertauliah dan diperakui kerajaan.

“Sebenarnya, Jakim telah pun mengatur temujanji di antara pakar perubatan dengan pihak Sajat.

“Namun di saat akhir Sajat tidak hadir atau membatalkan temujanji pemeriksaan pakar perubatan kerana didesak oleh pihak ketiga di pihak Sajat sendiri,” jelasnya.

Pada Rabu, mStar Online melaporkan Mohd Izwan mendakwa telah ‘dihalang’ oleh orang ketiga di pihak Sajat untuk meneruskan prosedur bagi mengesahkan identiti sebenar usahawan kosmetik itu. – MSTAR