Agong Perkenan Gaji, Emolumen Baginda Dikurangkan 10 Peratus

56
0

Oleh: Wartawan Mysuara

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V perkenan supaya peruntukan gaji serta emolument baginda dikurangkan sebanyak 10 peratus sepanjang tempoh  pemerintahan baginda sehingga 2021.

Datuk Pengelola Bajaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Ab. Aziz berkata, Sultan Muhammad V prihatin terhadap tahap hutang negara dan keadaan ekonomi negara yang masih tidak lagi stabil.

“Baginda amat tersentuh dan mezahirkan ucapan penghargaan serta terima kasih kepada rakyat Malaysia yang telah bermurah hati menyumbang kepada Tabung Harapan yang telah diwujudkan oleh kerajaan baru baru ini.

“Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Tuanku juga ingin bersama rakyat menunaikan tanggungjawab baginda dengan bertitah perkenan agar peruntukan gaji dan emolumen Baginda dikurangkan sebanyak 10 peratus sepanjang tempoh pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong iaitu sehingga tahun 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada 23 mei lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan bahawa gaji Jemaah menteri akan dikurangkan sebanyak 10 peratus berkuat kuasa serta merta.

Menurut Wan Ahmad Dahlan, baginda juga telah bertitah untuk tidak mengadakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Istana Negara pada tahun ini.