45,500 PATI Ditahan Sejak Januari Lalu

7
0

SEPANG: Jabatan Imigresen (Imigresen) menahan 45,500 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam 14,000 operasi di seluruh negara sejak Januari sehingga semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata mereka ditahan dalam operasi berterusan melalui pelbagai tindakan penguatkuasaan di seluruh negara.

“Tindakan penguatkuasaan dijalankan tanpa henti dan sehingga kini seramai 1,322 majikan sudah didakwa kerana menggaji PATI.

“PATI dari Indonesia adalah paling ramai ditahan iaitu seramai 14,965 orang diikuti Bangladesh (9,640), Myanmar (4,475), Filipina (3,793), Thailand (3,338) dan lain-lain seramai 9,178 orang.

“Jabatan Imigresen akan terus mengadakan operasi dan tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pihak yang melanggar peraturan,” katanya pada sidang media di Pusat Pentadbiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, selepas pulang dari menghadiri seminar ‘High Security Printing (HSP) Asia’ di Hanoi, Vietnam.

Yang turut hadir Pengarah Imigresen KLIA, Mohd Nasri Ishak dan Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pasport, Datuk Mohd Zulfikar Ahmad.

Dalam seminar itu, Malaysia melakar sejarah apabila Pasport Malaysia Antarabangsa (PMA) dianugerahkan sebagai ‘Best ID Document Award’ (kategori pasport) 2018.

Seminar yang berlangsung dari 3 hingga 5 Disember itu adalah program tahunan dan dihadiri lebih 40 negara anjuran Reconnaissance International, sebuah organisasi bebas yang mempunyai 60 tahun pengalaman dalam analisis dan penerbitan dokumen keselamatan.

Mustafar berkata, anugerah diterima itu berdasarkan penilaian ke atas beberapa kriteria reka bentuk dan falsafah di sebalik penerbitan pasport terbabit terdiri daripada ciri keselamatan dokumen perjalanan, material serta teknologi sistem dan pelaksanaan pasport yang dikeluarkan sesebuah negara.

Katanya, sepanjang Januari hingga 31 Oktober lalu, pihaknya mengeluarkan lebih 1.718 juta PMA selain kemudahan MyOnline Pasport yang turut menunjukkan peningkatan pengguna dengan pengeluaran sebanyak 9,178 PMA melalui permohonan dalam talian.