43 Transaksi Penjualan Tanah Kementerian Wilayah Diteruskan

125
0

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa khas Kementerian Wilayah mengesyorkan sebanyak 43 daripada 97 transaksi penjualan tanah yang dilakukan oleh kerajaan terdahulu diteruskan.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad berkata, jumlah itu tidak termasuk 10 transaksi yang dibatalkan, 23 transaksi yang ditangguhkan kerana masih dalam peringkat rundingan, 20 transaksi yang telah dipindah milik dan satu yang sedang dalam proses perundangan di mahkamah.

Menurut Khalid, jawatankuasa yang ditubuhkan pada 31 Julai lalu juga mengesyorkan semua transaksi yang telah dipindah milik kepada pembeli disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Daripada 23 transaksi tanah yang ditangguhkan itu, sebanyak 13 transaksi melibatkan pembangunan projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip).

“Jumlah keluasan tanah bagi kesemua 97 transaksi tersebut adalah 675.27 ekar (273.3 hektar) yang bersamaan dengan 1.1 peratus daripada keluasan keseluruhan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya pada satu sidang media di sini, hari ini.

Anggota Parlimen Kepong Lim Lip Eng sebelum ini membuat laporan meminta SPRM menyiasat penjualan 64 bidang tanah pada harga RM4.28 bilion kepada Yayasan Wilayah Persekutuan pada 2013 membabitkan bekas Menteri Wilayah, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Khalid berkata, laporan jawatankuasa khas yang telah diserahkan kepada SPRM pada 4 September lalu untuk tindakan lanjut.

Jelas beliau, perbincangan jawatankuasa selama 15 hari itu mendapati sebanyak 13 projek Rumawip tersenarai dalam projek yang perlu ditangguhkan.