3,871 Pengguna Facebook Berkait IS Dipantau Polis

27
0

KUALA LUMPUR: Polis sedang memantau 3,871 pengguna Facebook yang disyaki ada kaitan dengan IS, kata timbalan menteri dalam negeri.

Datuk Masir Kujat berkata, 240 orang yang terlibat menyebarkan pengaruh IS pula ditahan polis sehingga kini.

“Akaun Facebook yang disekat sebanyak 800. Twitter dalam pantauan ada 76 individu, 8 ditangkap dan 9 disekat.

“Pantauan dibuat ke atas 72 individu (pengguna Instagram) dan seorang telah ditangkap,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Shabudin Yahaya (BN-Tasek Gelugor) yang ingin tahu adakah kerajaan memantau kegiatan IS di media sosial.

Masir berkata, kerajaan melalui Pusat Serantau Digital Bagi Memintas Mesej Melalui Komunikasi (CMC) yang ditubuhkan polis akan mengekang semua kegiatan membabitkan IS, terutama mereka yang menggunakan media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

“Dan (kita) dapati juga tujuan mereka gunakan media sosial adalah untuk merekrut ahli baharu dan mencari dana,” katanya.

Sementara itu, Masir berkata, 18 tahanan di bawah Akta Pencegahan Keganasan 2015 (Pota) yang terbabit dalam program deradikalisasi yang merangkumi aspek keagamaan, kewarganegaraan, psikologi, kekeluargaan dan nilai murni, ialah warga tempatan, manakala seorang lagi ialah warga asing.