3 Maut, 26 Cedera Gas Meletup Di CityOne Megamall

42
0

KUCHING: Tiga maut dihempap runtuhan siling restoran dalam kejadian letupan di Kompleks CityOne Megamall di sini, hari ini.

Dua daripada mangsa yang maut itu adalah pekerja restoran berkenaan, manakala seorang lagi pekerja pembinaan yang terbabit dalam kerja pengubahsuaian restoran itu.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Khirudin Drahman, berkata seramai 26 lagi mangsa cedera dengan empat daripadanya parah.

Beliau berkata, daripada jumlah itu, lima adalah wanita dan identiti semua mangsa termasuk tiga yang maut masih belum dikenal pasti.

“Pihak kami menerima panggilan kecemasan pada jam 3.37 petang sebelum sepasukan lebih 30 anggota termasuk HAZMAT dan EMRS dikejarkan ke lokasi.

“Daripada tiga lelaki yang maut itu, dua adalah penduduk tempatan, manakala seorang berasal dari Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal, kejadian itu dipercayai berlaku akibat letupan tong gas untuk kerja kimpalan.

Khirudin berkata, kejadian kira-kira jam 3.35 petang itu berlaku ketika kerja pengubahsuaian sedang dilakukan.

“Difahamkan, restoran berkenaan akan dibuka secara rasmi esok dan hari ini pekerja restoran berkenaan serta pekerja kontrak sedang sibuk membuat persiapan akhir.

“Sebahagian daripada mangsa adalah pengunjung kompleks yang kebetulan melalui restoran berkenaan ketika letupan berlaku,” katanya.