23 Dikhuatiri Maut Dalam Letupan Di Lapangan Terbang Brussels

178
0
KONGSI

BRUSSELS: Sekurang-kurangnya 23 maut dan 35 cedera di dalam kejadian letupan di Lapangan Terbang Brussels, Belgium petang ini.

Menurut tweet terkini dari AFP, angka terbabit dilaporkan oleh pihak media Belgium.

Sebelum ini, dua letupan kuat kedengaran di Lapangan Terbang Brussels.

Susulan dua letupan tersebut, satu lagi letupan berlaku di stesen kereta api metro Maelbeeck, dan menyebabkan beberapa cedera.

Berikutan kejadian letupan ini, kerajaan Belgium telah meningkatkan amaran keganasan ke peringkat paling tinggi.

Beberapa imej kepulan asap dari lapangan terbang terbabit turut dimuat naik di laman sesawang RTBFpenyiar awam Belgium. Turut dipaparkan, beberapa tingkap bangunan retak.

Laporan oleh penyiar itu menyebut, letupan berlaku sekitar jam 8 pagi waktu tempatan (0700 GMT) dan pihak berkuasa serantau telah menggerakkan mod kecemasan dengan semua penerbangan keluar dan masuk dihentikan serta merta.

Sementara itu, pihak kedutaan Malaysia di Belgium dalam satu kenyataan ringkas kepada Astro AWANI memaklumkan, tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam insiden letupan tersebut.

“Pihak Kedutaan telah berhubung dengan Persatuan Pelajar Malaysia di Belgium dan juga Persatuan Profesional di Belgium & Luxembourg dan didapati tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam insiden tersebut,” kata jurucakap kedutaan tersebut. – AWANI