12 Ditahan Kes Salah Guna Kuasa, Rasuah RM23 Juta Di Pahang

10
0

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan 12 individu termasuk tujuh pegawai sebuah jabatan kerajaan di Pahang bagi membantu siasatan salah guna kuasa dan rasuah membabitkan projek bernilai RM23 juta.

Sumber berkata, SPRM turut menyita beberapa barangan berharga dipercayai hasil kegiatan rasuah dan salah guna kuasa termasuk wang tunai, kenderaan dan jongkong emas.

“Jumlah aset yang disita ialah wang tunai bernilai lebih RM100,000, dua kereta jenama Mazda CX5 dan Honda CRV serta sebuah jongkong emas dianggarkan bernilai lebih RM18,000,” katanya.

Menurutnya, kegiatan itu berlaku sejak 2014 dan sepanjang tempoh empat tahun kebelakangan ini, projek bawah kendalian dan seliaan agensi berkenaan dimonopoli serta dikawal oleh seorang kontraktor.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penyitaan itu dan pasukan penyiasat kini dalam proses mengumpul bukti termasuk menjalankan siasatan lanjut.