100 Ahli BERSATU Klang Keluar Parti

35
0
KONGSI

PELABUHAN KLANG: Seramai 100 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bahagian Klang meninggalkan parti selepas mendakwa hilang kepercayaan terhadap pucuk pimpinan.

Jurucakap kumpulan itu, Mohd Hazwan Zulkefly, berkata tindakan berkenaan diambil selepas mereka tidak berpuas hati dengan pelantikan orang luar menerajui bahagian Klang, sekali gus meminggirkan anak tempatan.

“Kami tidak memerlukan campur tangan pihak luar bagi menentukan hala tuju bahagian ini, maka kami mengambil keputusan meninggalkan PPBM yang hanya memperjuangkan kepentingan peribadi demi mendapatkan kuasa politik individu tertentu.

“Awalnya bahagian ini diterajui oleh anak Klang tetapi dirombak kerana campur tangan ‘tangan ghaib’.

“Ini penghinaan kepada anak Klang kerana pucuk pimpinan membiarkan perkara ini berlaku.

“Adakah rakyat Klang tidak layak memimpin kawasan sendiri sehingga sanggup membawa masuk orang luar untuk mentadbir Klang? Unsur negatif seperti kronisme menebal dalam PPBM,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Berikutan itu, Mohd Hazwan berkata, seramai 100 orang ahli PPBM menyerahkan borang keahlian kepada Ketua UMNO Bahagian Klang, Datuk Nasarrudin M Zin.

Mohd Hazwan yakin lebih ramai ahli PPBM akan keluar parti menyertai UMNO selepas ini.

“PPBM Klang lumpuh kerana selama ini bergerak atas usaha anak Klang, sedangkan orang luar yang dilantik tidak faham dan tidak tahu apa yang dimahukan masyarakat Klang,” katanya.

Beliau berkata, keyakinan golongan muda terhadap Pakatan Harapan semakin hilang selepas melihat kegagalan pakatan pembangkang membuat keputusan sepakat berhubung calon Perdana Menteri.

“Mereka umum Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri jika menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), namun timbul banyak bantahan dalam kalangan pemimpin serta ahli parti dan rakyat bimbang dengan situasi ini,” katanya.

Sementara itu, Nasaruddin berkata, walaupun UMNO sudah berusia 57 tahun, ia tidak pernah menyekat golongan muda menyertai parti itu.

“UMNO mesra orang muda sejak dulu kerana mereka adalah pelapis meneruskan kesinambungan kepemimpinan akan datang.

“Selama ini pembangkang cuba membentuk persepsi UMNO cuba halang orang muda sertai parti ini. Tanggapan ini tidak betul,” katanya.