Berat Badan Ideal Wajib Pada Semua Polis – KPN

341
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, program mewajibkan anggota polis lulus ujian indeks jisim badan (BMI) dan ujian kesihatan sebagai syarat kenaikan pangkat bagi pengesahan jawatan turut terpakai kepada dirinya.

Ia kerana, langkah itu dibuat bagi memastikan anggota PDRM sihat tubuh badan dan mengelak dari penyakit berbahaya seperti kencing manis dan darah tinggi.

“Jadi kita telah mendapati ramai anggota pegawai dan anggota yang mempunyai pelbagai penyakit dan jumlah kematian di kalangan tinggi disebabkan penyakit kencing manis, darah tinggi…

“Mungkin orang boleh cakap pada saya sebab saya pangkat IGP tapi ia terpakai kepada semua,” katanya selepas program Penyerahan dan Pengambilan Tugas Pengarah Eksekutif dan Pengarah Sekretariat ASEANPOL di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Zulkifli Abdullah bahawa kini lebih 11,000 pegawai polis dikategorikan gemuk, dan anggota keselamatan itu kini diwajibkan lulus ujian BMI dan ujian kesihatan sebagai syarat kenaikan pangkat.

Malah Utusan Malaysia menerusi ruangan Awang Selamat turut menggesa pegawai atasan polis agar menjadi contoh kerana masalah obesiti hanya akan menjejaskan imej pasukan polis negara.

Sementara itu, Khalid berkata setiap anggota keselamatan di beberapa negara telah melaksanakan perkara tersebut.

“Kami sebagai pucuk pimpinan PDRM perlu mencari langkah-langkah demi kebaikan keluarga PDRM dan bagi kesedaran untuk jaga kesihatan dan antaranya memastikan kita lakukan senaman dan sebagainya.

“Banyak negara telah melaksana akan mesti lulus tahap kecergasan untuk dipertimbangkan naik pangkat,” katanya.