Belanjawan Yang Baik Tetapi Tidak Luar Biasa – Pakar Akademik

246
0
SHARE

Oleh: Faizal Riduan

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2016 disifatkan baik oleh pakar akademik namun tiada pendekatan luar biasa untuk menyeimbangkan bebanan kos sara hidup yang ditanggung rakyat berikutan pengenalan enam peratus Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) awal tahun lalu dan kenaikan kadar tol lebuhraya dan jalan utama antara 30 sen sehingga RM3 baru-baru ini.

“Bajet 2016 ini biasa-biasa sahaja. Ini mungkin disebabkan ianya dirangka oleh jabatan-jabatan dan kementerian-kementerian kerajaan maka lebih banyak faedah yang dinikmati oleh penjawat awam berbanding rakyat keseluruhan,” jelas Dekan Kulliyyah Senibina dan Rekabentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa, Prof Dato’ Dr Alias Abdullah.

Beliau mengulas ‘durian runtuh’ yang diterima penjawat awam berikutan penetapan gaji asas minimum RM1,200, penetapan kadar pencen minimum RM950 sebulan, penambahbaikan 252 skim perkhidmatan dan faedah pemindahan gaji bersamaan satu kenaikan gaji tahunan mengikut gred yang akan dilaksanakan tahun depan.

Namun bagi Ahli Geostrategi, Universiti Teknologi Malaysia, Prof Madya Dr Azmi Hassan, peruntukan khas kepada 1.6 juta penjawat awam dan 700,000 pesara kerajaan itu masih bersesuaian dengan belanjawan yang terhad.

“Pemberian khas sebanyak RM500 kepada kakitangan kerajaan dan RM250 buat pesara kerajaan sudah dianggap baik memandangkan peruntukan bajet yang terhad. Saya melihat pengumuman gaji minimum dalam bajet kali ini adalah kemahuan rakyat untuk meningkatkan pendapatan sehingga ke kadar RM1,500 menjelang tahun 2020,” tambahnya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Kajian Tinggi Islam Antarabangsa Malaysia (IAIS), Prof Madya Dr Mohamed Azam Mohamed Adil menyifatkan belanjawan kali ini merangkumi semua golongan masyarakat dan baik untuk semua pihak.

“Golongan bawahan menerima kenaikkan kadar bayaran Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan golongan pertengahan diberikan kadar pelepasan cukai yang lebih tinggi sementara golongan atasan dinaikkan kadar cukai pendapatan.”

Namun beliau dilihat kurang bersetuju dengan kenaikan kadar gaji asas minimum yang kecil iaitu RM100 menjadi RM1,000 di Semenanjung dan RM120 menjadikan RM920 di Sabah dan Sarawak.

“Sepatutnya gaji minima ialah RM1,200 untuk perkhidmatan awam dan swasta. Tidak sewajarnya ada perbezaan standard kerana kos sara hidup adalah sama.”

Beliau juga melihat pengurangan peruntukan untuk pendidikan terutamanya pemotongan besar peruntukan sebanyak RM2.4 bilion kepada Kementerian Pengajian Tinggi sebagai sesuatu yang tidak baik untuk negara.