Barangan Di Mara Digital Mesti Lalui Syarikat Bumiputera

214
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Keaslian barangan teknologi maklumat (IT) yang dijual di Mara Digital, Kuala Lumpur, akan disemak dan dijamin oleh sebuah syarikat bumiputera yang dilantik menguruskan penyewa.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata WGN Innovation Frontiers dilantik sebagai pembekal utama untuk produk di pusat itu.

Katanya, walaupun terdapat penyewa yang mendapatkan langsung daripada pembekal, ia mesti dijamin keasliannya oleh WGN terlebih dahulu.

Pusat aduan juga akan dibuka bagi membolehkan pengguna membuat aduan.

Mara Digital sejak awal cuba digambarkan sebagai alternatif kepada pusat jualan IT lain di ibu negara yang berdepan kontroversi dakwaan barangan tiruan.

Ismail sebelum ini berkata dibina bagi memberi peluang kepada peniaga Melayu dan bumiputera dan bukan mahu berlawan dengan pusat IT lain seperti Plaza Low Yat.

Siapa WGN?

Menurut laman web WGN, syarikat didaftarkan sebagai WGN Scan Sdn Bhd, itu menjalankan perniagaan mengedar barangan elektronik sekitar Asia Tenggara.

Ia juga membina tetikus tanpa wayar dan mempunyai tapak jualan produk di Internet.

Menurut pangkalan data perniagaan Bloomberg pula, pengerusinya Wan Mohamad Zin Mat Amin seorang pesara tentera dan mempunyai pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang bekalan barangan pertahanan, pembangunan harta tanah, pembuatan barangan automatif dan perkhidmatan IT.