Bandar Sungai Bertaraf Dunia: KL Bakal Setanding Melbourne, Vienna, Vancouver – Ku Nan

22
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Bandaraya Kuala Lumpur akan menjadi bandar sungai bertaraf dunia apabila Program Transformasi Ekonomi bagi Greater Kuala Lumpur bakal siap dalam tempoh tujuh tahun.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata pembangunan KL River City dilihat memenuhi keperluan untuk melonjakkan nama bandaraya ini.

“Dengan pembangunan jitu di antara pembangunan sungai serta jaringan akses ini, pembangunan KL River City dilihat memenuhi ciri-ciri keperluan untuk melonjakkan nama bandaraya Kuala Lumpur setanding dengan nama bandar-bandar besar yang diminati untuk dihuni seperti Melbourne, Vienna, Vancouver, Toronto, Calgary dan lain-lain lagi.

“Dengan pelaksanaan projek KL River City, kawasan sekitarnya yang berkeluasan 320 ekar juga berpotensi untuk diremajakan dan dimodenisasikan semula,” katanya pada ucapan pelancaran Majlis Pecah Tanah Projek KL River City di sini hari ini.

Katanya, pelaksanaan projek berkeluasan lebih 129 hektar di sepanjang 2.2 kilometer di Sungai Gombak itu akan membangunkan kawasan-kawasan seperti Bandar Baru Sentul, Setapak, Tititwangsa dan Pekeliling untuk menerima limpahan signifikan seperti peluang usahawan dan perniagaan baharu.

Tengku Adnan pada masa sama melihat projek itu bakal menjadi penampan kepada kejadian banjir kilat di ibu negara apabila Sistem Penambahbaikan dan Terowong Sungai Gombak (GREAT) dilaksanakan.

“Sistem GREAT adalah satu sistem bukan mekanikal yang bertujuan untuk menangani isu bajir kilat di kawasan sekitar Sungai Gombak di mana air deras yang mengalir daripada hulu sungai tersebut semasa hujan lebat akan dialirkan ke terowong GREAT supaya kejadian banjir dapat dielakkan berlaku di kawasan sekitar Sungai Gombak,” katanya.

Ujarnya, keupayaan sistem itu tidak akan menjejaskan tarikan pelancong, aktiviti sungai dan rekreasi di tebing sungai sepanjang tahun tanpa risiko banjir.

Projek KL River City yang berada di bawah Greater Kuala Lumpur dijangka siap pada 2020 selain beberapa projek lain seperti Eko Titiwangsa, Eko River Centre, Eko Gateaway, EkoQuay dan Eko Avenue dengan anggaran nilai pembangunan kasar yang melebihi RM6 bilion.