Baju Merah, Baju Kuning: Satu Perangkap Agenda Asing

1318
1
SHARE

Oleh: AZMAN HUSSIN

BAJU Merah, gelaran kepada peserta Perhimpunan Rakyat Bersatu, yang berhimpun pada Hari Malaysia 16 September, dikatakan jumlah orang yang menyertainya lebih ramai berbanding siri-siri perhimpunan Bersih (Baju Kuning) selama ini.

Baju merah adalah mewakili orang-orang Melayu yang menyokong kerajaan dan anti kepada DAP. Mereka adalah golongan yang berasa tercabar akibat provokasi dan hinaan yang dilakukan oleh orang-orang Cina DAP ke atas mereka selama ini di media sosial dan secara terbuka. Bagi mereka, Cina adalah DAP.

Mungkin ada dakwaan-dakwaan lain, tetapi itulah intipati perhimpunan itu diadakan, untuk menunjukkan bahawa orang-orang Melayu boleh bersatu apabila bangsa mereka dipijak dan dihina.

Ramai yang menganggap kehadiran ramai Baju Merah adalah bukti penyatuan orang-orang Melayu dan mereka bersorak gembira kerananya, tetapi benarkah ia suatu kejayaan penyatuan orang-orang Melayu? Kita selalu berfikir secara kabur tanpa memahami secara jelas sesuatu perkara itu.

Tanpa bukti-bukti jelas, ramai orang Melayu bergembira dan menganggap ia adalah suatu kejayaan dan kebaikan untuk bangsa mereka. Kononnya orang-orang Melayu sudah mulai bangkit dan bersatu. Adakah ia benar ataupun sekadar ilusi orang-orang yang kecewa dan dibuli emosinya sebelum ini?

Adakah mereka tidak sedar, Baju Merah, dari satu sudut, telah menghalalkan kaedah yang selama ini dikecam oleh penyokong kerajaan sebagai tidak bertamadun, iaitu demonstrasi. Pelbagai hujah telah digunakan mereka selama ini untuk mengharamkan demonstrasi. Kaedah anjuran Yahudi, cara jahiliyah, dan agenda Barat untuk merosakkan keamanan sesebuah negara.

Kesannya, jika selepas ini Baju Kuning mahu mengadakan demonstrasi, tiada alasan lagi untuk penyokong kerajaan mempertikaikannya. Secara tidak langsung perhimpunan Baju Merah telah mengiktiraf kaedah demonstrasi Baju Kuning sebelum ini, iaitu suatu kemenangan moral kepada Baju Kuning.

Apakah hasil perhimpunan Baju Merah sebenarnya?

Jika ia dikatakan bukti perpaduan orang-orang Melayu, adakah orang-orang Melayu yang menyertainya adalah penyokong-penyokong DAP yang anti kerajaan, yang telah beralih arah? Tetapi, seperti yang umum ketahui, majoriti yang menyertai perhimpunan tersebut memang sedia ada cenderung menyokong kerajaan dan menyimpan perasaan marah kepada tindak-tanduk DAP.

Dan perhimpunan ini juga semestinya tidak akan menyebabkan orang-orang melayu di sebelah pembangkang menyebelahi kerajaan menentang DAP.BAJUMERAH1

Kita boleh menyatakan perhimpunan ini tiada kaitan dengan parti politik, ia hanya melibatkan orang-orang Melayu. Jika benar begitu, mengapa tiada tokoh-tokoh Melayu pembangkang di perhimpunan tersebut? Jelaslah ia adalah perhimpunan yang tidak mewakili orang-orang Melayu, tetapi mewakili orang-orang Melayu yang menyokong parti pemerintah.

Maka kejayaan yang mungkin dicapai adalah keupayaan mereka mengumpul penyokong-penyokong kerajaan untuk suatu perhimpunan.

Jadi, apakah kejayaannya?

Mungkin ia berjaya menunjukkan kepada orang-orang Cina yang berkelakuan biadap bahawa orang-orang Melayu boleh bersatu apabila mereka dihina dan ditindas, tetapi seperti tadi, perhimpunan itu tidak mewakili keseluruhan rakyat Malaysia. Ia tidak disertai oleh orang-orang Melayu yang menentang kerajaan. Orang-orang Melayu di dalam parti PAS, PKR atau DAP boleh dikatakan tidak menyertainya, dan mereka kekal menentang kerajaan.

Jika kita mahu berfikir, perhimpunan baju merah sebenarnya akan menghasilkan satu kitaran ganas yang telah lama dimulai oleh Baju Kuning. Selepas ini demonstrasi akan menjadi suatu budaya baru yang terpaksa diterima oleh semua orang untuk menyampaikan sesuatu.

Dahulu hanya parti pembangkang dan penentang kerajaan yang turun ke jalanan untuk melakukan demonstrasi dan tunjuk perasaan. Apabila wujud satu lagi golongan prokerajaan yang turut turun ke jalanan, kita sebenarnya telah memasuki fasa politik baru. Jika selama ini tiada tentangan, kali ini ada tentangan.

Apakah hasil sebenarnya?

Kepada kuasa asing atau tangan-tangan ghaib yang mahukan negara ini terus tidak stabil politiknya, ini adalah suatu kejayaan percuma kepada mereka kerana rakyat Malaysia telah  bebas turun ke jalanan untuk berdemonstrasi. Tidak ada pertarungan tanpa lawan. Kali ini baju kuning telah bertemu lawannya, iaitu baju merah. Maka hasilnya adalah kehancuran kepada kedua-dua pihak ini.

Percayalah, lambat-laun mereka akan bertembung di jalanan sebagaimana berlaku di Thailand.

Kita mungkin berasa lega apabila dapat berkumpul ramai-ramai dan melaungkan kata-kata semangat tentang penyatuan orang-orang Melayu, tetapi ia tidak dapat menyelesaikan masalah. Ia sekadar dapat melepaskan emosi yang terpendam.

Cuba kita keluar dari orientasi permasalahan ini dari skop bangsa Melayu dan Cina. Anggap saja kedua-dua bangsa ini adalah mangsa percaturan kuasa-kuasa asing untuk meluaskan pengaruhnya. Apabila perang perkauman berlaku, negara akan tercampak ke dalam suasana tidak stabil yang mengundang campurtangan kuasa asing.

Jika demonstrasi telah diterima umum, percayalah Malaysia juga akan menuju ke arah revolusi jalanan sebagaimana di negara-negara lain. Mungkin bukan hari ini, tetapi kejatuhan empayar Uthmaniah juga tidak dirancang dalam masa sehari.

Dalam situasi ini, jika kita mahu berfikir, orang-orang Melayu sebenarnya mungkin telah mengulangi jenaka Pak Kaduk versi baru. Menang sorak kampong tergadai. Mereka bersorak di atas kejayaan mereka menganjurkan suatu perhimpunan orang-orang Melayu, tetapi mereka tidak memikirkan apakah kesan sebenar tindakan mereka itu. Mereka terbuai-buai oleh emosi mereka, sedangkan apa yang mereka lakukan itu bakal mendatangkan keburukan-keburukan lain yang lebih besar.kepada mereka di kemudian hari.

HIMPUNANBERSIHCubalah bermuhasabah, apakah sebenarnya yang orang-orang Melayu telah perolehi dalam perhimpunan Baju Merah tersebut? Adakah kelakuan mereka seperti burung merak yang mempamerkan bulu-bulunya yang cantik, tetapi ia tidak dapat digunakan untuk terbang setinggi dan setangkas helang? Kita menunjukkan kita ramai dan kuat, walhal ia hanyalah hiasan, plastik, kerana masih ramai yang orang-orang Melayu di luar sana yang berpecah-belah kerana politik.

Mungkin dengan satu tumbukan Baju Merah telah mengalahkan empat tumbukan baju kuning sebelum ini, tetapi ingatlah permainan belum tamat. Ia akan berterusan sehinggalah kedua-dua puak ini hancur berbalahan.

Kita fikir dengan  jumlah ramai yang menyertai Baju Merah, kelompok Baju Kuning tidak akan mengadakan demonstrasi lagi. Sebaliknya ia boleh menyebabkan Baju Kuning lebih mahu membuktikan mereka lebih ramai dan lebih kuat lagi pada masa hadapan. Mereka akan lebih termotivasi, apatah lagi kali ini mereka tidak lagi dihalang seperti dahulu. Ia adalah normal. Ia adalah suatu kitaran ganas yang tidak berhenti, melainkan setelah menelan kesemua mangsanya.

Apa akan jadi jika perhimpunan Bersih selepas ini mendapat penyertaan yang lebih besar, lebih-lebih apabila mereka lebih bebas berkumpul? Adakah selepas itu Baju Merah akan turut berkumpul lagi untuk menyaingi perhimpunan Bersih? Persoalan-persoalan ini sebenarnya harus difikirkan.

Bayangkan kemungkinan selepas ini sebahagian penyokong kerajaan akan bersama dengan pembangkang berdemonstrasi menuntut Perdana Menteri berundur. Segala-galanya tidak mustahil.

Dan dengan penganjur-penganjur Baju Merah yang pelbagai, tidak mustahil nanti mereka akan bercanggah sesama sendiri dan menyebabkan kelompok Baju Merah ini tidak dapat dikawal dan memprotes kepada kerajaan sendiri kerana kecewa kerajaan tidak dapat bertindak apa-apa ke atas orang-orang Cina DAP.

Tulisan ini bukan mahu memperlekehkan Baju Merah, tetapi untuk mengajak kita berfikir apakah hakikat sebenar di sebaliknya, apakah hasilnya. Ia supaya kita tidak terbuai-buai dengan khayalan kita bahawa orang-orang Melayu telah bersatu, sedangkan kenyataan sebenarnya kita hanya dapat menarik dan mengumpulkan orang-orang Melayu yang sememangnya telah menyokong kerajaan (pemerintahan Melayu). Kita tidak dapat menarik orang-orang Melayu yang bersama PAS, PKR dan DAP untuk sama-sama menentang musuh yang memijak dan menghina bangsa mereka sebagai tuan rumah di negara ini.

Berhentilah bersorak, marilah kita memikirkan realiti sebenar, di saat musuh-musuh kita sedang merancang strategi lain untuk terus menguasai negara ini. Di dalam meraikan kegembiraan kadang-kadang kita lupa realiti sebenar yang kita perolehi dalam sesuatu perkara yang membuat kita gembira itu. Jangan jadi Pak Kaduk versi moden.

Akhirnya, demonstrasi Baju Merah kali ini mungkin boleh menenggelamkan pelbagai isu yang lain, tetapi ia juga telah membuka pintu fitnah, huru-hara, anarki dan jalan ke arah revolusi yang bakal mengubah dan meletakkan negara ini di landasan New World Orde.