Bajet Ketenteraan Dunia Naik Hampir AS$1.7 Trilion

125
0
SHARE

DUBAI: Peruntukan ketenteraan di seluruh dunia pada 2015 meningkat kepada hampir AS$1.7 trilion (RM6.67 trilion), pertambahan pertama dalam masa beberapa tahun, disebabkan konflik termasuk memerangi IS, perang diketuai Arab Saudi di Yaman dan kebimbangan mengenai Iran.

Kajian oleh Institut Penyelidikan Keamanan Antarabangsa Stockholm juga menyatakan perluasan kuasa China di Laut China Selatan dan kemasukan wilayah Crimea ke dalam Russia selain sokongan pemisah Ukraine juga termasuk dalam kenaikan satu peratus berbanding 2014.

Bagi pengeluar senjata, serangan udara tanpa henti menyasarkan militan IS di Iraq dan Syria, selain pengeboman di Yaman ke atas pemberontak Syiah dan sekutu mereka, bermakna jualan mencecah berbilion dolar.

Namun aktivis mempersoalkan perjanjian senjata berterusan Amerika Syarikat dengan Arab Saudi ketika kempen di Yaman mengorbankan penduduk awam, manakala penjualan jet pejuang Amerika kepada Qatar dan Kuwait sudah dihentikan.

Amerika, dengan peruntukan pertahanan sebanyak AS$596 bilion (RM2.3 trilion), dan China, dengan anggaran AS$215 bilion (RM843 bilion) mendahului negara lain pada 2015.

Bagaimanapun, Arab Saudi, di tempat ketiga dengan AS$87.2 bilion (RM342 bilion), dua kali ganda daripada 2006. Ia menyemarakkan peningkatan dalam peruntukan ketenteraan di seluruh dunia sejak 2011. – AGENSI