Bajet 2016: Tidak Cukup Sekadar Naikkan BR1M – Fomca

129
0
SHARE

PETALING JAYA: Pengumuman kenaikan kadar Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dalam Bajet 2016 adalah berita baik untuk rakyat berpendapatan rendah, namun ia tidak cukup untuk mencapai sasaran kerajaan bagi membantu golongan itu menampung kos sara hidup.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Yusof Abdul Rahman berkata, kerajaan seharusnya memikirkan mekanisme yang lebih baik menerusi pemberian BR1M, selain dalam bentuk wang tunai.

“Memanglah bila naik, penerimanya akan gembira. Tetapi adakah ia benar-benar mencapai sasaran sepenuhnya dalam membantu mereka menampung kos sara hidup. Kita tak nak segelintirnya sekadar suka-suka tanpa fikir ketika mahu berbelanja.

“Adalah lebih baik sekiranya kerajaan memikirkan satu mekanisme dalam pemberian sebahagian BR1M seperti bentuk kupon dan baucar yang boleh digunakan di Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) dan lain-lain untuk membeli keperluan asas,” katanya.

Menerusi Bajet 2016, pemberian BR1M untuk isi rumah berpendapatan RM3,000 ke bawah akan ditingkatkan daripada RM950 kepada RM1,000, manakala isi rumah berpendapatan antara RM3,001 hingga RM4,000 akan dinaikkan kepada RM800 daripada RM750.

Bagi individu bujang yang berumur 21 tahun dan ke atas, serta berpendapatan tidak melebihi RM2,000 sebulan, kadar bantuan akan ditingkatkan daripada RM350 kepada RM400.

Sehubungan itu, Yusof berkata, pengenalan kupon atau baucar bagi pembelian barang keperluan asas itu dapat mendidik rakyat untuk berbelanja secara berhemah.

“Kaedah ini bukan sahaja memanfaatkan rakyat sebagai pengguna bahkan juga untuk kemudahan KR1M yang diperkenalkan kerajaan serta membantu para peniaga lain,” katanya.

Rabu lalu, mStar Online melaporkan kerajaan disarankan menyediakan baucar bagi pembelian barangan keperluan sebagai sebahagian daripada kaedah pemberian BR1M yang akan terus disalurkan menerusi pembentangan Bajet 2016.

Selain BR1M, Yusof turut menyentuh mengenai pengenaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada kadar sifar bagi mengurangkan beban rakyat yang diumumkan dalam Bajet 2016.

Beliau berkata, tidak banyak senarai baharu bagi GST kadar sifar yang hanya menjurus kepada ubat terkawal dan beberapa jenis makanan.

“Saya berpendapat kerajaan sepatutnya memikirkan lebih banyak barangan dan perkhidmatan seperti caj perkhidmatan kewangan di ATM (mesin pengeluaran automatik) kerana pengeluaran wang sering dilakukan rakyat,” katanya..

Selain itu, katanya, majalah juga merupakan antara barangan yang boleh dikenakan GST kadar sifar sebagaimana buku-buku yang telah disenaraikan sebelum ini.

“Majalah juga satu bahan bacaan dan yang sering dibeli oleh rakyat setiap bulan. Kerajaan boleh juga mengenakan GST kadar sifar ke atas majalah sebagai salah satu usaha memupuk minat rakyat untuk membaca,” kata Yusof. – MSTAR

SHARE
Previous articleAgong Selesai Jalani Rawatan Di IJN
Next articlePutrajaya Elak Isu 1MDB, RM2.6 Bilion Di Parlimen – Kit Siang