Bajet 2016: Nilai BB1M Tidak Dikurangkan

331
0
SHARE

SHAH ALAM: Kementerian Pendidikan Tinggi menjangkakan insentif kerajaan kepada pelajar menerusi program Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) tidak akan dikurangkan dalam Bajet 2016.

Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata sebaliknya, hanya sistem pengagihan BB1M akan ditambah baik berikutan kementeriannya mengesan terdapat beberapa pihak telah menyalahgunakan baucer itu sebelum ini.

“Sama ada nilai BB1M akan ditambah atau sebaliknya Perdana Menteri akan putuskan (dalam Bajet 2016) tetapi saya rasa tidak akan dikurangkan cuma sistem pengedaran baucer itu akan diubah,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Tadbir Urus 1 Universiti Teknologi Mara (UiTM) Multisistem di sini petang Rabu.

Turut hadir Pengerusi Lembaga Pengarah universiti itu, Tan Sri Dr Ahmad Zaidee Laidin dan Naib Canselornya Tan Sri Profesor Sahol Hamid Abu Bakar.

Dalam bajet sebelum ini, kerajaan memperuntukkan lebih RM325 juta menerusi program BB1M.

Idris dalam pada itu berharap agar sektor pendidikan tinggi akan terus diberi keutamaan dalam Bajet 2016 yang akan dibentangkan Jumaat ini.

“Kita harap (yang) terbaik kerana kita tahu bajet ini agak sukar untuk kerajaan dengan kejatuhan harga minyak, kejatuhan komoditi serta ekonomi yang agak tenat di seluruh dunia.

“Bagaimanapun apa dijanjikan Perdana Menteri beliau akan cuba yang terbaik,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai ketiadaan arahan penangguhan kuliah di institusi pengajian tinggi berbanding sekolah yang diarah ditutup berikutan jerebu, Idris berkata situasi di kedua-dua institusi pendidikan itu adalah berbeza.

Beliau berkata sekolah menerima arahan daripada ketua pengarah pelajaran sementara pusat pengajian tinggi menerima arahan daripada naib canselor masing-masing.

“Universiti ada visi mereka sendiri dan kita telah beri kuasa pada setiap naib canselor untuk tentukan sama ada mereka boleh teruskan pengajian atau tidak.

“Bagaimanapun kita peka dengan perkara tersebut dan kita beritahu setiap naib canselor supaya tidak adakan aktiviti luar jika jerebu tinggi,” katanya.

Mengulas mengenai pelancaran Tadbir Urus 1 UiTM Multisistem, beliau berkata ia merupakan sebahagian daripada Program Transformasi universiti itu bersandarkan konsep 3K iaitu Kesedaran, Kemahiran dan Komitmen.

Idris berkata tadbir urus baharu itu akan membawa lebih kecemerlangan dan kejayaan kepada UiTM yang mempunyai 13 kampus di seluruh negara.