Bahasa Inggeris Di Sarawak Tiada Roh Perlembagaan Dan Persekutuan Malaysia

570
0
SHARE

Oleh: Faizal Riduan

KUALA LUMPUR: Kebenaran penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa tambahan kepada bahasa Melayu dalam pentadbiran kerajaan negeri Sarawak sebagaimana yang diumumkan Ketua Menterinya, Tan Sri Adenan Satem adalah tidak mengambil roh dan semangat perlembagaan dan kehidupan bernegara dalam persekutuan Malaysia menurut Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Datuk Dr Awang Sariyan.

“Kelonggaran hanya selama 10 tahun dan tidak patut kelonggaran itu berterusan. Selepas 10 tahun tiada helah dan alasan lagi,” hujah Dr Awang.

Semalam Adenan semasa pelancaran Hari Perkhidmatan Awam Sarawak 2015 di Pusat Konvensyen Borneo mencetuskan kontroversi bagi menjadikan Sarawak negeri pertama menerima semula bahasa Inggeris untuk urusan rasmi negeri.

“Pendirian saya kuat terhadap bahasa Inggeris telah mengguris sebahagian daripada nasionalis yang menuduh saya sebagai anti-nasionalis dan anti-patriotik. Bagi saya ini hanya menjadi realistik,” jelas Adenan.

Sebaliknya bagi Dr Awang lagi, secara praktisnya bahasa kedua itu membahayakan kedudukan bahasa Melayu kerana berisiko mengambil alih bahasa rasmi negara.

“Bahasa Melayu adalah bahasa jati diri dan perpaduan. Ia tidak sama aspirasi dengan bahasa Inggeris,” jelas Dr Awang yang turut mengkritik pengenalan Program Dwi-Bahasa (DLP) yang kelihatan usaha mengembalikan Pengajaran Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

Menurutnya lagi Sarawak dengan lebih 28 etnik sementara Sabah dengan lebih 32 etnik terbukti mempunyai penguassan bahasa Melayu yang lebih baik termasuk dalam penggunaan versi baku berbanding penduduk di Semenanjung.

“Sabah dan Sarawak berjaya menggunakan bahasa Melayu sebagai medium perantaraan dan penyatu antara etnik.”

Sebaliknya ujar beliau, kerajaan negeri Sarawak perlu membincangkan perkara sepenting itu di mesyuarat ketua-ketua menteri dan menteri-menteri besar yang turut dianggotai oleh perdana menteri dan menteri kabinet.

Dr Awang ditemui selepas sidang media khas pengumuman Hadiah Sastera Perdana Malaysia 2014 yang hadiahnya bakal disampaikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 November ini.