Bahas Secara Sihat TPPA Di Parlimen – Salleh Keruak

93
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak berharap perbahasan mengenai Perjanjian Perkongsian Trans Pasifik (TPPA) di Parlimen mulai hari ini, berlangsung secara baik dan sihat.

Beliau berkata kerajaan akan mengambil peluang itu untuk menjelaskan mengapa TPPA baik untuk negara, manakala pembangkang pula boleh menjelaskan kenapa mereka tidak bersetuju.

Dalam semangat demokrasi berparlimen, undi akan dilakukan dan kehendak majoriti akan diikuti, katanya dalam laman blog sskeruak.blogspot.my.

Salleh menarik perhatian kerajaan memutuskan untuk membenarkan TPPA dibahaskan di Parlimen walaupun perjanjian perdagangan bebas tidak memerlukan penelitian Parlimen atau kelulusan, tetapi hanya memerlukan kelulusan Kabinet.

Beliau turut merujuk kepada aduan pembangkang tempoh 60 hari tidak cukup untuk memahami TPPA dan lebih banyak masa diperlukan.

“Sebenarnya, 60 hari mengkaji TPPA sebagai persediaan untuk perbahasan selama 2 hari bermula esok merupakan tempoh masa yang cukup jika dilakukan secara sistematik dan berfokus,” kata Salleh.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata sidang khas Parlimen itu adalah langkah proaktif kerajaan Malaysia walaupun ia bukan satu keperluan bagi TPPA dibentang di badan legislatif negara-negara anggota.

Beliau berkata prinsip pasaran terbuka yang diamalkan dalam TPPA pastinya akan menguntungkan semua pihak, khususnya negeri yang agresif dalam perindustrian dan perdagangan seperti Selangor dan Pulau Pinang. – INSIDER