“Bahagian Dikawal, Cawangan Kena Bersuara” – Tun M

103
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Tidak seperti krisis dalaman 1987, keadaan Umno kini berbeza, yang mana presidennya Datuk Seri Najib Razak sekarang takutkan cabaran, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Mengulas keadaan 28 tahun lalu, Mahathir berkata, ketika itu demokrasi diamalkan dan beliau membenarkan cabaran pada kepimpinannya oleh angggota parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah.

Beliau berkata demikian ketika ditanya berhubung keadaan terburuk yang mungkin melanda akibat ketegangan hubungan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Walaupun meminta perlembagaan untuk membolehkan lebih ramai perwakilan memilih kepimpinan parti, Mahathir berkata Najib masih mampu mempengaruhi hasilnya dengan mengawal 191 ketua bahagian di seluruh negara.

“Orang ini (Najib) tidak akan benarkan sebarang cabaran kerana dia takut kalah,” kata Mahathir.

Beliau justeru meminta anggota akar umbi Umno menyatakan perasaan mereka.

“Seperti yang kami lihat, tiada ketua-ketua bahagian hadir (dalam acara ini) hari ini,” kata Mahathir dalam sidang media selepas acara yang dianjurkan oleh anggota akar umni Umno Kluang, Johor dan Kedah.

Acara itu dilangsungkan di Muzium Kesenian Islam sebagai tanda sokongan terhadap gesaan Mahathir supaya Najib meletakkan jawatan.

Dalam krisis 1987, Mahathir hampir-hampir kecundang di tangan Tengku Razaleigh. Krisis dalaman bagaimanapun membawa kepada pengharaman Umno setahun selepas itu.

Parti itu bagaimanapun dihidupkan kembali dengan nama Umno (Baru), manakala Razaleigh pula ketika itu membentuk Parti Melayu Semangat 46. – MK