Badan Pemantau Bebas SPRM Jumpa Peguam Negara Khamis Depan

97
0
SHARE

PUTRAJAYA: Dua badan pemantau bebas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan bertemu dengan Peguam Negara pada 18 Februari ini untuk membincangkan mengenai pelbagai isu melibatkan kedua-dua pihak termasuk keputusan siasatan SRC International dan derma politik RM2.6 bilion.

Pertemuan pada Khamis minggu depan akan dihadiri ahli Lembaga Penasihat SPRM, Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan pegawai kanan Jabatan Peguam Negara.

Walaupun timbul cakap-cakap bahawa badan pemantau SPRM itu akan duduk berbincang dengan peguam negara bagi membincangkan secara khusus kedua-dua kes yang melibatkan perdana menteri, difahamkan pertemuan ini diatur sebelum pengumuman Mohamed Apandi terhadap isu tersebut.

Namun, sumber yang mengetahui tentang mesyuarat itu berkata terdapat ‘kemungkinan besar’ Mohamed Apandi akan ditanya mengenai keputusannya terhadap SRC International dan derma politik RM2.6 bilion itu.

Pada 26 Januari lalu, Jabatan Peguam Negara melepaskan Datuk Seri Najib Tun Razak daripada sebarang salah laku jenayah berhubung kes SRC International dan derma politik RM2.6 bilion.

Malah menurut Mohamed Apandi, ketiga-tiga kertas siasatan berhubung dua kes berkenaan akan dikembalikan kepada SPRM dengan arahan supaya ia ditutup.

Ketika dihubungi, Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah SPRM, Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim berkata mesyuarat tersebut adalah untuk menyelesaikan sebarang salah faham antara peranan suruhanjaya itu dan Jabatan Peguam Negara.

“Dari semasa ke semasa, terdapat perbezaan pendapat berhubung pendakwaan kes. Ini (mesyuarat) adalah bagaimana kita mendapatkan penjelasan untuk memberi manfaat kepada kedua-dua pihak iaitu SPRM dan Jabatan Peguam Negara,” katanya kepada The Star.

Beliau berkata terdapat kes sama ada oleh SPRM atau polis tidak boleh didakwa kerana kekurangan bukti dan siasatan yang lemah.

“Kami mahu mengelakkan perkara ini suapaya akan ada perubahan dalam persepsi orang ramai. Buat masa ini, orang ramai membuat andaian mereka sendiri mengenai kenapa Jabatan Peguam negara tidak membawa beberapa kes ke mahkamah,” katanya.

SHARE
Previous articleAhli Politik Perlu Lebih Bertanggungjawab – Salleh Keruak
Next articleKrisis Dalaman Politik Punca Utama Masalah Negara ā€“ Muhyiddin