Babak “DAP165” Akan Dipotong, Nafi Anti-DAP – Pengarah Malay Regiment

23
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pengarah filem Malay Regiment Datuk Jurey Latiff Rosli akur dengan saranan menteri supaya babak memaparkan penggunaan kereta dengan nombor pendaftaran ‘DAP165’ tidak dimasukkan dalam filem terbarunya.

“Saya akur arahan menteri kerana saya sangat setia kepada negara. Apa yang dikomen itu kita ambil maklumlah,” katanya.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mencadangkan babak yang dikatakan menghina DAP itu dipotong daripada filem yang akan ditayangkan pada 31 Ogos ini.

Katanya, semakannya mendapati babak itu tidak sesuai.

Ini susulan nombor pendaftaran yang digunakan itu seakan-akan perkataan “DAPIGS” yang sering digunakan oleh pahlawan papan kekunci anti-DAP untuk menghina dan memburuk-burukkan DAP di Internet.

Babak kontroversi itu dikesan melalui penyiaran trailer filem itu yang dimuat naik ke Youtube.

Ketika dihubungi Jurey juga menolak tanggapan bahawa beliau cuba memaparkan sentimen anti-DAP.

“Saya rasa tidak macam itu. Kita pun tak tunjukkan komunis itu berdasarkan bangsa. Ada juga bangsa-bangsa lain sebagai komunis.

“Bagi saya falsafah filem itu boleh ditafsirkan dalam berbagai-bagai makna. Kita tunjukkan insiden itu berlaku pada 1976 dan kisah dahulu jadi pengajaran kita hari ini,” katanya.

Malay Regiment diinspirasikan daripada kisah benar apabila 11 askar tanah air terkorban pada tahun 1976 apabila helikopter mereka ditembak jatuh pengganas Komunis.

Filem itu memaparkan bagaimana tiga orang cucu mangsa cuba menggali kembali kisah berkaitan datuk-datuk mereka yang terkorban demi negara itu.

“Filem ini adalah sejarah untuk rakyat Malaysia. Hargailah perajurit yang telah berjuang untuk keamanan hari ini,” kata Jurey.

Menurut pengarah, tayangan perdana filem itu masih belum ditentukan kerana menunggu lampu hijau daripada panglima angkatan tentera yang diminta merasmikannya.

Malay Regiment akan ditayangkan di 51 pawagam di seluruh negara. – MK