Azmin Terus ‘Kunci Mulut’ Isu DEIG

189
0
SHARE

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali terus “mengunci mulut” berhubung status operasi Darul Ehsan Investment Group (DEIG) yang menimbulkan keraguan pelbagai pihak.

Semasa ditemui pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Selangor (MTES) di Shah Alam, hari ini, Azmin berkata maklumat mengenai entiti itu sudah dijawabnya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor baru-baru ini.

“Saya sudah jawab dalam dewan (DUN) mengenai perkara ini. Tengok ‘handouts’ saya,” katanya ringkas.

Pada persidangan DUN itu, Azmin berkata DEIG, yang ditubuhkan bagi menguruskan pelaburan anak syarikat di bawah Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), memberi fokus kepada sektor pelaburan, aset dan perniagaan semata-mata.

Beliau berkata entiti yang dimiliki sepenuhnya oleh MBI itu ditubuhkan untuk mengurangkan impak dan risiko perniagaan secara terus terhadap kerajaan negeri.

MBI pula akan memberi tumpuan kepada kerja kebajikan rakyat Selangor dan tanggungjawab sosial korporat, katanya.

Azmi bagaimanapun berkata DEIG, yang ditubuhkan pada Disember 2014, masih belum memulakan operasi malah tidak terlibat dengan mana-mana transaksi sehinggalah pada awal 2016.

Namun, sebuah portal berita kewangan baru-baru ini melaporkan syarikat pelaburan itu mengumumkan untuk mencari rakan kongsi bagi pelaksanaan pembangunan tanah di kawasan Shah Alam, Gombak dan Bukit Beruntung.

Ketika diminta mengulas laporan portal berita itu yang menyebut DEIG pernah melaksanakan proses Pernyataan Minat (RFI) dan Permohonan Cadangan (RFP) berhubung pelaksanaan pembangunan di tiga kawasan berkenaan, Azmin menafikannya sebaliknya menjawab: “RFI atau RFP itu semua dilakukan oleh MBI”.

Pada 8 Julai lepas, The Edge Financial Daily melaporkan pembangunan tanah di ketiga-tiga kawasan itu akan dilaksanakan DEIG Land yang menyasarkan nilai pembangunan kasar sebanyak RM10 juta bagi fasa pertama menerusi konsep usaha sama.

Laporan itu turut menyatakan bahawa DEIG membuka RFI selain akan memaklumkan RFP kepada pemohon yang disenarai pendek untuk pembangunan berkenaan.