Azmin Berbohong Mengenai Tender Balak – Chegubard

98
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Aktivis PKR Badrul Hisham Shaharin mendakwa mempunyai dokumen rahsia bagi membuktikan kerajaan Selangor berbohong mengenai tender pembalakan 2 keping tanah melibatkan projek jajaran talian elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Chubadak dan Mahkota Cheras.

Badrul yang lebih dikenali sebagai Chegubard mendakwa, 2 syarikat dianugerahkan kontrak membalak di atas 2 keping tanah itu secara terus dan bukan melalui tender terbuka.

Katanya, ia bercanggah dengan kenyataan Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang dilapor berkata semua projek di negeri itu melalui tender terbuka sewaktu mengulas isu tersebut sebelum ini.

“Dia (Azmin) kata ada tender terbuka tetapi saya katakan tidak,” katanya mendakwa beliau sudah melakukan carian mengenai tender berkaitan tanah itu yang didakwa mempunyai nilai pampasan sebanyak RM8 juta dan RM13 juta dari TNB, tetapi tidak pernah menemuinya.

Disebabkan itu, Badrul kini mencabar Azmin agar mengklasifikasikan dokumen yang berada di tangannya itu sebagai dokumen awam dan tidak tertakluk di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA) agar beliau boleh mendedahkan isi kandungannya kepada orang awam.

The Malaysian Insider sedang menghubungi pejabat Azmin serta pihak berkuasa negeri yang merupakan sumber dokumen berkenaan bagi mendapatkan maklum balas.

Sementara itu, Badrul turut menempelak kerajaan Selangor yang cuba mewajarkan kos RM9.8 juta bagi menaiktaraf gerbang Kota Darul Ehsan.

Menurutnya, jawapan kerajaan Selangor yang kos itu dibayar dahulu dan kemudian diganti dengan wang derma tidak masuk akal.

“Alasan ini paling ‘legend’. Ia mengundang senyum sinis banyak pihak. Jelas ia bercanggah dengan amalan tatakelola kewangan kerajaan atau adakah Selangor mengendalikan kewangan negeri seperti akaun gerai goreng pisang?

“Jika ia derma kenapa tidak disebut dalam belanjawan ketika projek ini diluluskan? Kenapa istilah derma hanya muncul setelah projek membazir ini diserang?” kata ketua penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) di pejabat SAMM di Seremban. – INSIDER

SHARE
Previous articleBarangan Di Mara Digital Mesti Lalui Syarikat Bumiputera
Next articleAmanah Mahu Bertanding Di Kelantan Pada PRU-14