Australia Timbulkan Semula Teori “Rogue Pilot” Punca MH370 Hilang

152
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Pada saat pencarian dasar laut yang diketuai Australia terhadap pesawat Malaysia Airlines MH370 menghampiri penghujungnya, penyiasat nahas udara mungkin mengetengahkan semula teori “rogue pilot” kerana sengaja menerbangkan pesawat itu hingga hilang.

Ini bercanggah dengan pencarian berterusan 120,000 km persegi dalam air, yang berdasarkan kepada senario “penerbangan hantu” di mana juruterbang tidak sedarkan diri atau mati, lapor The Australian hari ini.

Ketua Pesuruhjaya Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) Martin Dolan berkata kepada akhbar harian British, The Times, jika MH370 tidak dapat dijumpai beberapa bulan akan datang, ia perlu memberi penjelasan dan alternatif kepada kerajaan.

“Dan alternatifnya, secara jujur, di sebalik semua bukti, kemungkinan seseorang mengawal pesawat dan menerbangkannya… jika kita tolak semua kawasan carian semasa.

“Jika kami tidak menemuinya, maka kita akan mempertimbangkan… terdapat input kawalan ke dalam pesawat pada akhir penerbangan,” Dolan dipetik sebagai berkata.

Juruterbang veteran Byron Bailey berkata ATSB enggan melayan teori itu kerana tidak mahu memalukan Malaysia.

Beberapa media membuat spekulasi juruterbang MH370 Kapten Zaharie Ahmad Shah adalah penyokong ketua pembangkang di penjara Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan rampasan itu adalah satu tindakan protes politik.

MH370 hilang daripada radar pada 8 Mac 2014, ketika dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing.

Pada Ogos, Pusat Penyelarasan Agensi Bersama Australia (JACC) mengesahkan sebahagian pesawat iaitu flaperon ditemui di Reunion Island, tetapi sejak itu tiada kesan lagi serpihan ditemui.

Semua 227 penumpang dan 12 anak kapal dianggap terkorban selepas pengisytiharan rasmi pada 29 Januari yang mengklasifikasikan kejadian itu sebagai kemalangan berdasarkan peraturan penerbangan antarabangsa. – INSIDER