Asing Gelas Tidak Ikut Pekeliling – Mahdzir

12
0
SHARE

KUALA NERANG: Tindakan pentadbir sebuah sekolah rendah yang mengasingkan gelas minuman untuk pelajar Islam dan bukan Islam dilihat tidak bertepatan dengan peraturan dan pekeliling Kementerian Pendidikan sedia ada.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sebaliknya pentadbir sekolah harus berperanan mewujudkan perpaduan dan menjaga sensitiviti kepelbagaian kaum.

“Semua jenis peraturan dan pekeliling urusan sekolah telah tertakluk pada pekeliling kementerian sedia ada, jadi pentadbir sekolah tidak boleh buat sesuatu perkara lebih dari apa yang telah ditetapkan.

“Mereka (pentadbir sekolah) tidak boleh buat peraturan sendiri sebaliknya perlu merujuk dengan pihak kementerian dahulu jika hendak melakukan sesuatu,” kata Mahdzir.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Puteri dan Pemuda UMNO Bahagian Padang Terap pada petang Jumaat.

Tambahnya, isu tersebut telah diselesaikan di peringkat jabatan.

Pada khamis, sebuah portal media melaporkan sebuah sekolah rendah di Hulu Langat, Selangor mengamalkan dasar mengasingkan gelas minuman untuk pelajar Islam dan bukan Islam.

Isu tersebut turut mendapat perhatian Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang menyifatkan tindakan itu sebagai bersifat perkauman di samping mendorong salah faham terhadap kaum lain.