AS Tempatkan Tiga Pesawat Pengebom “Stealth” Di Asia

88
0
SHARE
WASHINGTON: Amerika Syarikat berkata ia menempatkan tiga pengebom stealth jarak jauh yang mampu membawa peledak nuklear untuk latihan di Asia, ketika ketegangan semakin memuncak di semenanjung Korea.
“Keadaan baru-baru ini menunjukkan keperluan berlanjutan menguatkan pertahanan udara yang konsisten seluruh rantau Indo-Asia-Pasifik,” kata komander Tentera Udara Pasifik, Jeneral Lori J Robinson.
Pesawat berkenaan adalah pengebom B-2 Spirit dan Tentera Udara Amerika cuma memiliki 20 saja.
Tentera enggan menyatakan lokasi tepat pesawat pengebom itu akan ditempatkan.
Ia dibuat ketika Korea Utara membedil dua peluru berpandu jarak dekat ke dalam laut di pesisir pantai timur negara itu, mencetuskan ketegangan selepas siri ujian nuklear dan pelancaran roket baru-baru ini.
Pelancaran peluru berpandu jarak dekat itu perkara biasa dan dianggap upacara tidak penting dalam senarai panjang tindakan provokatif rejim itu, dan sering digunakan untuk menimbulkan kemarahan.
Pyongyang membedil enam roket berkaliber tinggi ke dalam laut seminggu lalu bagi membantah sekatan baru oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Sekatan dikenakan berikutan pelancaran roket keempat negara itu Januari lalu dan pelancaran roket ke angkasa lepas, yang dilihat sebagai ujian peluru berpandu balistik.