Arul Sedia Berdepan Pengkritik 1MDB

86
0
SHARE

Oleh: MySuara

Foto: Shaiful Nizam

KUALA LUMPUR: Presiden 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Arul Kanda Kandasamy berkata beliau masih “terbuka” untuk mengadakan pertemuan dengan pengkritik 1MDB Tony Pua dan Rafizi Ramli bagi memberi penjelasan mengenai firma milik negara itu.

“Saya akan bertemu dengan mereka. Saya boleh jumpa Rafizi dan Pua pada masa yang sama. Tidak ada masalah,” kata Arul pada taklimat anjuran Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), pagi tadi.

Beliau berkata demikian selepas ditanya seorang hadirin jika 1MDB akan menganjurkan sesi yang sama seperti program hari ini untuk pengkritiknya.

Satu perdebatan yang dirancang antara Pua dan Arul baru-baru ini dibatalkan apabila Rafizi dinamakan untuk menggantikan Pua sebagai wakil ahli Parlimen daripada Pakatan Harapan.

Pua tidak dibenarkan berdebat dengan Arul melainkan jika beliau meletak jawatan di dalam Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terlebih dulu.

Ahli Parlimen DAP itu mengambil keputusan mengekalkan kedudukannya dalam PAC, yang sedang menyiasat 1MDB ketika ini dan menarik diri daripada perdebatan.

Arul bagaimanapun enggan berdebat dengan Rafizi yang menawarkan diri menggantikan Pua.

“Seperti yang anda lihat, saya menerima soalan hari ini. Jadi, kami tidak mempunyai apa-apa yang hendak disembunyikan. Taklimat ini terbuka kepada semua orang,” katanya.