Arab Saudi Bayar RM1.13 Juta Kepada Waris Jemaah Haji Terkorban

186
0
SHARE

MAKKAH: Pemerintah Arab Saudi Raja Salman memperuntukkan 1 juta Riyal (RM1.13 juta) kepada setiap keluarga mangsa yang terbunuh dan jemaah mengalami kecacatan, berikutan tragedi kren tumbang di Masjidil Haram, Mekah minggu lepas, lapor Saudi Press Agency.

Manakala 500,000 Riyal (RM566,247) akan dibayar kepada setiap mangsa yang cedera.

Pengumuman yang dibuat melalui dekri diraja 2 hari lepas itu menyatakan pembayaran pampasan besar-besaran kepada 111 jemaah haji yang terbunuh dan lebih 234 yang cedera dalam kejadian tersebut.

Menurut Raja Salman, pembayaran itu tidak bertujuan untuk mengganggu usaha keluarga mangsa yang terlibat dalam insiden tersebut untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut pampasan.

Beliau turut mengumumkan Arab Saudi akan menaja 2 ahli keluarga mangsa yang terbunuh pada musim haji tahun depan.

Pada masa sama, mereka yang cedera dan tidak dapat melengkapkan ibadah haji mereka pada tahun ini, juga akan dibenarkan mengerjakan haji tahun depan sebagai tetamu Raja Salman.

Katanya, ahli keluarga mangsa yang cedera dan dirawat di hospital akan diberikan visa lawatan untuk membolehkan mereka berada di negara itu bagi menemani keluarga mereka yang dirawat.

Raja Salman juga melihat laporan jawatankuasa siasatan tragedi tersebut yang menyimpulkan kren berkenaan tumbang akibat angin kencang ketika mesin berat itu berada di kedudukan yang tidak betul.

Beliau kemudian mengarahkan laporan itu dihantar kepada Biro Siasatan dan Pendakwaan Awam untuk siasatan lanjut berhubung prosedur yang diguna pakai syarikat kontraktor terbabit, Saudi Binladin Group.