Apandi Ali Beri Jaminan Tak Akan Sasar Wartawan

82
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali memberi jaminan tidak akan menyasarkan wartawan dengan cadangan pindaan Akta Rahsia Rasmi (OSA) 1972.

Dalam pertemuan dengan exco Kesatuan Wartawan Kebangsaan Malaysia (NUJM) hari ini, Apandi berkata cadangan itu hanya tertakluk kepada kesalahan pembocor rahsia kerajaan yang dibimbangi menjejaskan keselamatan dan kestabilan negara.

“Semua orang boleh bagi pandangan termasuk saya tetapi pandangan itu terserahlah kepada kerajaan sama ada untuk terima atau tidak. Jabatan kami tidak membuat sebarang polisi.

“Saya juga ingin menjelaskan tidak menyekat kebebasan wartawan menulis laporan mengikut fakta yang sahih serta etika kewartawanan.

“Sehubungan itu, semua wartawan tidak perlu bimbang mengenai cadangan pindaan ini kerana ia tidak menjejaskan profesyen wartawan dalam menyampaikan maklumat kepada kerajaan dan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan NUJM.

Dalam pertemuan selama lebih satu jam itu, NUJM turut menyampaikan memorandum yang menyenaraikan 10 perkara bagi melindungi hak wartawan menulis laporan tanpa rasa takut dikenakan tindakan OSA.

Baru-baru ini, sebuah akhbar berbahasa Cina memetik Apandi sebagai berkata beliau sedang menimbang untuk meminda OSA bagi meningkatkan hukuman ke atas mereka yang terlibat membocorkan rahsia kerajaan.

Peguam negara berkata beliau melihat kepada kemungkinan mengenakan hukuman penjara seumur hidup dan 10 kali sebatan untuk pesalah.

Beliau juga dilapor berkata wartawan yang didapati melindungi atau enggan mendedahkan sumber maklumat yang mereka perolehi juga boleh dikenakan tindakan.

Apandi turut mengingatkan wartawan supaya mengetahui sesuatu maklumat yang disampaikan sumber samada dari dokumen sulit kerajaan atau tidak bagi mengelakkan mereka disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 8 OSA.