Apa Tujuan ‘Himpunan Baju Merah’ ? – Tun M

1489
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad sekali lagi mencemuh “perhimpunan baju merah” yang berlangsung di Padang Merbok, Kuala Lumpur hari ini, mengatakan beliau tidak jelas tentang objektif di sebalik perhimpunan itu.

“Saya tak tahu. Apa objektif mereka?” soalnya, apabila ditanya mengenai Himpunan Rakyat Bersatu anjuran gabungan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Melayu hari ini.

Ribuan rakyat Malaysia berkumpul di ibu kota terdahulu hari ini dalam satu demonstrasi jalanan yang dirancang sebagai tanda protes kepada perhimpunan Bersih 4 yang diadakan hujung bulan lalu.

“Nampak macam mereka hanya sokong kerajaan,” katanya selepas menyampaikan ucapan pada program “The Story” di Cyberjaya hari ini.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Dr Mahathir juga berkata, impiannya terhadap negara ini ialah supaya Malaysia mencapai pengagihan kekayaan yang sama rata untuk semua kaum.

“Impian saya untuk Malaysia ialah semua orang di sini memperkenalkan diri mereka sebagai rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, dan bertutur dalam satu bahasa.

“Juga, mesti ada pengagihan kekayaan yang saksama antara semua kaum,” katanya ketika ditanya impiannya sempena Hari Malaysia hari ini.

Dr Mahathir mengakui, melihatkan kepada pengagihan kekayaan yang tidak sama rata dalam tahun-tahun ketika beliau membesar di Alor Star, ia “mempengaruhi” pemikiran dan pendekatan beliau hingga hari ini.

Sementara itu, bekas perdana menteri itu turut memenuhi permintaan salah seorang hadirin di program itu dengan menyanyikan lagu “My Way” dendangan Frank Sinatra bersama penyanyi tersohor Datuk Siti Nurhaliza Tajuddin.