Apa Niat UMNO Cawangan Panggil Tun M? – Ku Nan

877
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor mengingatkan Umno cawangan Pusat Bandar Taman Cempaka di ibu negara supaya tidak mengadakan program untuk melaga-lagakan pemimpin parti.

Tengku Adnan berkata beliau tidak mahu terdapat pihak mengambil kesempatan melalui penganjuran program-program tertentu.

“Saya tak tahu. Saya tak tahu kenapa dia nak panggil Tun Mahathir. Apa niat cawangan di Pandan ini.

“Kita akan tanyalah apa niat. Kalau niat baik, tak menjejaskan perjalanan parti, ikut etika, boleh buat. Tapi kalau langgar etika kita akan ambil tindakan yang perlu diambil tindakan.

“Kerana kita tak mahu orang ambil kesempatan melaga-lagakan pemimpin,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) hari ini.

Umno cawangan itu menjadi cawangan pertama menganjurkan program bersama Mahathir, pengkritik nombor satu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, bagi membincangkan tentang isu-isu semasa.

Cawangan yang sama terlibat menganjurkan acara mirip ketika pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi sebelum ini diasak Mahathir ketika itu.