Annuar Musa Kekal Pengerusi MARA

260
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah mengumumkan pelantikan semula Tan Sri Annuar Musa sebagai pengerusi Mara berkuatkuasa hari ini manakala Ahli Parlimen Padang Besar Datuk Zahidi Zainul Abidin sebagai pengerusi Risda berkuatkuasa 1 September.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata Annuar dan Zahidi dilantik ke jawatan masing-masing selepas mendapat persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Saya percaya pelantikan Tan Sri Annuar dan Datuk Zahidi akan dapat memimpin Mara dan Risda dalam melaksanakan dasar dan perancangan kementerian demi mencapai objektif transformasi negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Annuar, 59, merupakan ahli Majlis Tertinggi Umno sejak 2013 dan merupakan ahli Parlimen Ketereh memiliki sarjana dalam Pengurusan Pembinaan dari University College of London serta Ijazah Sarjana Muda Perancang Bandar dan Desa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).Beliau pernah berkhidmat sebagai penolong pengarah perancang bandar Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, pengarah Bahagian Perancang Korporat, Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Kelantan selain pernah berkhidmat sebagai pengerusi Fama dan pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) dari 2005 hingga Mei 2013.

Antara jawatan politik yang pernah disandang adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Peringat (1986-1990), Adun Kok Lanas (2004-2008) serta Ahli Parlimen Peringat (1995-1999) di Kelantan.

Annuar juga merupakan bekas menteri belia dan sukan (1990-1993), menteri pembangunan luar bandar (1993-1999) serta pengerusi Badan Perhubungan Ummo Kelantan (2004-2009).

Beliau turut aktif dalam badan sukarela antaranya ahli korporat Pertubuhan Perancang Malaysia; pengasas Yayasan Kemiskinan Kelantan (1991-kini); setiausaha agung Persatuan Persahabatan Malaysia-Indonesia (2002-kini); presiden Persatuan Bolasepak Kelantan (2007-kini) serta timbalan presiden Persatuan Bolasepak Malaysia dari 2010 hingga kini.

Sementara itu, Zahidi, 54, merupakan ahli Parlimen Padang Besar sejak 2013 memiliki Ijazah Sarjana Sains Politik dari Irish International University, Ijazah Pentadbiran Perniagaan dari Northern California Global University dan Diploma Pentadbiran Awam dari Universiti Teknologi Mara (UiTM).

Beliau pernah menjadi Adun Beseri (1999 – 2008), setiausaha politik menteri kewangan II (2003) dan setiausaha politik menteri besar Perlis (1994).