Anina Saman Ku Nan Kerana Dipecat UMNO

152
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Bekas ahli Umno Langkawi, Anina Saaduddin memfailkan saman terhadap Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berhubung pemecatannya sebagai anggota parti itu.

Selain Tengku Adnan, beliau turut menamakan Setiausaha Kerja Umno Datuk Ab Rauf Yusoh dengan memfailkannya menerusi Tetuan Haniff Khatri di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat.

Anina berkata, Tengku Adnan yang juga dikenali sebagai Ku Nan telah mengeluarkan surat pemecatan keahliannya pada 1 September lalu.

Beliau mendakwa surat itu tidak sah dari segi fakta, perlembagaan parti, undang-undang dan perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Tengku Adnan telah mengedarkan surat berkenaan kepada media dan orang awam tanpa menyerahkan kepada beliau terlebih dahulu.

Menurut Anina, beliau telah menjawab surat yang bertarikh 3 September kepada Tengku Adnan bagi menyuarakan bantahannya berhubung surat yang diterimanya dan meminta setiausaha agung parti itu untuk menarik balik perkara tersebut namun Tengku Adnan gagal berbuat demikian.

Anina berkata, surat pemecatan itu adalah cacat dan tidak sah. Antara lain, beliau memohon satu perintah bahawa surat pemecatan itu sebagai tidak sah dan terbatal.

Anina sebelum ini memfailkan saman terhadap Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung derma RM2.6 bilion yang didakwa disalurkan ke dalam akaun peribadinya.