Amanah Yakin Pakatan Harapan Guna Satu Logo Pada PRU14

102
0
SHARE

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara (Amanah) yakin Pakatan Harapan dapat menggunakan satu logo pada Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) akan datang.

Setiausaha Agung Amanah, Anuar Tahir berkata pihaknya lebih berminat menggunakan logo gabungan Pakatan Harapan berbanding logo sendiri sewaktu PRU14.

“Kalau satu entiti kita guna tiket satu entiti. Untuk sehari dua ini, tidak yakin 100% tetapi saya lebih positif (penggunaan satu logo) daripada penggal yang lalu.

“Cuma nak wujudkan daftar satu entiti satu logo itu tak sempat terjadi (semasa PRU13) .

“Saya fikir lagi 2 tahun atau lebih awal daripada itu kita lihat sama ada sempat atau tidak,” katanya pada sidang media di Wisma Amanah di Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, katanya, penggunaan satu logo Pakatan Harapan tidak akan dibincangkan dalam mesyuarat pertama sekretariat gabungan itu.

“Ini baru mesyuarat pertama. Kita nak tumpukan Majlis Presiden dan macam-macam.

“Saya ingat agenda pertama tak bincang lagi,” katanya.

Sementara itu, Amanah hari ini turut menyatakan kesediaan menerima PAS sekiranya mempunyai kesepakatan dalam Pakatan Harapan.

“Kita sudah tentu boleh menerima parti politik yang boleh bersama kita, selagi dapat persetujuan bersama.

“Sama ada PAS atau parti lain, kalau ada kesepakatan, kita akan alu-alukan,” kata Anuar ketika menjawab pertanyaan wartawan mengenai pelawaan PKR terhadap PAS untuk menyertai Pakatan Harapan.

Amanah hari ini mengumumkan perjalanan 40 hari parti itu sejak dilancarkan 16 September lalu.

Setakat hari ini, parti itu sedang memproses 50,000 permohonan keahlian dan menyasarkan 500 cawangan seluruh negara.

“Bagi kami ia satu jumlah yang sangat membanggakan sekali gus menunjukkan sambutan dan minat amat tinggi kalangan masyarakat di luar sana terhadap Amanah.

“Untuk fasa seterusnya, Amanah sedang bergerak hebat untuk mewujudkan jawatankuasa penaja (protem) di peringkat 500 cawangan itu,” kata Anuar.